- Iklan -
Berita

Kerajaan digesa tetapkan harga siling vaksin Covid-19

Harga yang ditawarkan Covax ketika ini adalah RM87.60 bagi setiap satu dos vaksin.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Malaysia bakal menerima 12.8 juta dos vaksin Covid-19 awal tahun depan. Gambar AFP
Malaysia bakal menerima 12.8 juta dos vaksin Covid-19 awal tahun depan. Gambar AFP

Kerajaan digesa menetap harga siling vaksin Covid-19 termasuk kos perundingan yang akan dijual dalam pasaran tempatan kelak.

Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias berkata perkara perlu dilakukan sekarang kerana pada November lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan harga maksimum yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Covax ketika ini adalah RM87.60 bagi setiap satu dos vaksin.

Berdasarkan Fasal 14, Rang Undang-Undang Kewangan 2020 menjelaskan tujuan pindaan Seksyen 46, Akta Cukai pendapatan 1967 adalah bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai pendapatan individu.

“Pindaan fasal berkenaan adalah bertujuan menaikkan had potongan perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas atau penyakit serius termasuk rawatan kesuburan dan vaksinasi serta penjaga ibu atau bapa daripada RM5,000 kepada RM8,000.

“Antara program vaksinasi yang termasuklah dalam pelepasan cukai berkenaan termasuklah vaksin Covid-19 di mana ia terhad kepada RM1,000 iaitu sebahagian daripada pelepasan cukai pendapatan maksimum sebanyak RM8,000.

“Jadi timbul persoalan dalam hati saya adakah harga jualan akhir vaksin Covid-19 termasuk caj konsultasi atau perkhidmatan adalah lebih tinggi daripada disebutkan oleh YB Rembau,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin ingin mengetahui sama ada pelepasan cukai pendapatan individu RM1,000 berkenaan adalah terpakai untuk individu terbabit sahaja atau boleh digunakan untuk ahli keluarga lain termasuk isteri dan anak serta ibu bapa mereka.

“Jika kos perubatan dan pemberian vaksin untuk ibu bapa tidak dikira saya mohon dimasukkan kerana ramai anak memikirkan soal kesihatan ibu bapa mereka dengan memastikan golongan berkenaan mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.”