- Iklan -
Berita

SSM rangka pelbagai inisiatif bantu belia, ibu tunggal B40 berniaga

Inisiatif berkenaan bakal mencetus minat berniaga dan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan belia dan ibu tunggal.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penjaja menjual makanan di Jalan Esfahan, Kuala Lumpur. SSM sedang merangka kaedah sesuai untuk membantu golongan terjejas seperti ibu tunggal.
Seorang penjaja menjual makanan di Jalan Esfahan, Kuala Lumpur. SSM sedang merangka kaedah sesuai untuk membantu golongan terjejas seperti ibu tunggal.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang merangka kaedah yang bersesuaian bagi membolehkan golongan usahawan belia dan ibu tunggal dalam golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapat manfaat skim pendaftaran perniagaan percuma, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bakal mencetus minat berniaga dan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan belia dan ibu tunggal daripada kumpulan B40 menceburi bidang perniagaan.

Alexander berkata, kerajaan berharap usaha berkenaan dapat membantu golongan B40 menjana pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup dan kehidupan seharian mereka seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negara ini.

Katanya, SSM juga sedang melaksanakan lapan inisiatif bagi membantu komuniti perniagaan dan sektor korporat mengharungi saat sukar akibat cabaran dan impak penularan pendemik Covid-19, sejak lalu.

“Inisiatif pertama ialah melaksanakan tempoh moratorium 30 hari dari tarikh berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyerahkan dokumen berkanun di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang perlu diserah simpan kepada SSM bermula 18 Mac 2020 hingga 30 September 2020 di mana fi lewat serah simpan akan dikecualikan.

“SSM juga memberikan pengecualian fi lewat serah simpan bagi dokumen berkanun di bawah Akta Syarikat 2016 berikutan arahan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di beberapa kawasan mulai 9 November 2020 hingga 31 Disember 2020,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta menteri berkenaan menyatakan apakah inisiatif atau skim yang disediakan SSM untuk membantu peniaga dan usahawan tempatan yang terjejas akibat PKP.

Menurut Alexander, inisiatif ketiga oleh SSM turut melibatkan pelanjutan masa untuk serah simpan penyata kewangan kepada SSM bagi tahun kewangan berakhir 1 September 2019 hingga 31 Mac 2020.

Katanya, syarikat perlu membuat permohonan kepada SSM dan pengecualian fi sebanyak RM100 diberikan bagi tujuan tersebut.

“Pelanjutan masa juga diberikan kepada syarikat untuk mengadakan AGM. Syarikat perlu membuat permohonan kepada SSM dan pengecualian fi sebanyak RM100 diberikan bagi tujuan pelanjutan masa.

“Golongan OKU disaran untuk memanfaatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang ditawarkan oleh SSM bagi mendaftar perniagaan baru dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma. Skim ini mula diperkenalkan pada 23 Oktober 2012.”

Katanya, SSM juga menggalakkan belia dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) yang diperkenalkan pada 1 Januari 2017.