Saturday, May 8, 2021

Kebenaran ahli Parlimen di bawah HSO hadir Dewan Rakyat bukan perkara baru, kata speaker

Kehadiran ahli-ahli Parlimen itu akan direkodkan sebelum mereka dibawa ke galeri awam.

Other News

Kehadiran tiga ahli Parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) pada sesi Sidang Dewan Rakyat, disifatkan bukan perkara baru, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, pengecualian sama diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kes-kes tertentu termasuk melibatkan Pesakit Bawah Siasatan (PUI).

Katanya, kehadiran dua ahli Parlimen kerajaan dan seorang pembangkang itu akan direkodkan sebelum bentara mengiringi mereka ke galeri awam untuk proses pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

“Pengenalan diri akan disemak oleh bentara yang berkenaan semasa kehadiran dicatatkan dan juga semasa ahli Yang Berhormat tersebut bergerak ke dewan untuk mengundi.

“Pengecualian ini bukan (perkara) baru, sebaliknya sebelum ini pengecualian-pengecualian sama diberikan kepada PUI untuk menghadiri upacara pengebumian atau melawat pesakit di hospital bagi kes-kes kecemasan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mahukan penjelasan mengenai rekod kehadiran dan pengenalan ahli Parlimen berkenaan.

Semalam, tiga ahli Parlimen berkenaan dibenarkan hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan mematuhi SOP ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula memohon penjelasan berhubung kehadiran tiga ahli Parlimen tersebut iaitu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan P Prabakaran (PH-Batu).

Menjawab pertanyaan itu, Azhar berkata, kehadiran mereka mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Azhar berkata, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan terlebih dahulu menulis surat permohonan kepada Noor Hisham untuk diberikan pelepasan kepada mereka.

“Dr Noor Hisham melalui surat bertarikh 14 Disember meluluskan permohonan untuk pelepasan masa ‘time off’ menghadiri undian dengan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Azhar pada masa sama turut memohon maaf kepada Anwar kerana tidak memberikan penjelasan berhubung perkara itu semalam.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles