- Iklan -
Berita

Dunia politik bukan tempat artis

Mereka mungkin ‘pakar’ di atas pentas, tetapi dunia politik lebih daripada sekadar itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi

Dunia politik dan industri hiburan mempunyai satu persamaan: kedua-duanya menghasilkan selebriti.

Ada dalam kalangan mereka cuba menceburi kedua-dua bidang itu, kebiasaannya daripada industri hiburan ke dunia politik, dan bukan sebaliknya.

Mereka mungkin lebih berjaya sebagai ahli politik atau gagal sama sekali.

Bintang Hollywood paling dikenali yang berjaya menempa nama dalam kerjaya politik mungkin Ronald Reagan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) yang berkhidmat pada tahun 1980-an merupakan seorang pelakon Hollywood sebelum menduduki kerusi paling berkuasa di dunia.

Terbaru, pelakon Arnold Schwarzenegger yang berkhidmat selama lapan tahun sebagai gabenor California, yang satu ketika dahulu beliau lebih dikenali dalam filem Terminator dan Total Recall.

Namun, di sebalik pengaruh besar mereka dalam masyarakat, selebriti gagal menterjemahkan kejayaan mereka dalam bidang politik.

Penyanyi rap dan penerbit jutawan Kanye West, pada satu ketika merupakan ikon disegani dalam industri muzik hip hop AS, hanya memperoleh 0.04% undian dalam pilihan raya presiden negara Uncle Sam itu baru-baru ini.

Di Malaysia, bilangan selebriti yang berjaya menempa nama dalam bidang politik tanah air terlalu kecil.

Katanya, bukan seperti selebriti TV, seorang ahli politik perlu “on call” selama 24 jam setiap hari.

Penyanyi Aishah, Herman Tino, Dayangku Intan dan hos televisyen terkenal Azwan Ali merupakan testimoni, bahawa populariti yang dimiliki mereka tidak memberi jaminan untuk mengecapi kejayaan dalam pilihan raya yang ditandingi.

Pengalisis politik James Chin mengatakan, walaupun selebriti mampu mengekalkan populariti mereka dalam kalangan peminat dan pengikut, akan tetapi ada kemahiran lain yang diperlukan untuk menjadi seorang ahli politik.

“Ahli politik mesti berupaya melibatkan diri dengan rakyat pada pelbagai peringkat, berbeza dengan golongan selebriti, mereka tidak begitu melibatkan diri dengan rakyat,” kata James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania.

Katanya, bukan seperti selebriti TV, seorang ahli politik perlu “on call” selama 24 jam setiap hari.

“Anda bukannya selebriti selama 24 jam sehari, anda masih boleh mengambil cuti. Tidak seperti wakil rakyat,” katanya.

“Jika anda seorang ahli politik, pada asasnya anda dikehendaki bersedia 24/7,” kata Chin.

Pada 2011, penyanyi Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin telah menyertai PAS, dan ia dilihat sebagai satu langkah bagi memecah undi konservatif parti Islam itu.

Tetapi dua tahun kemudian, Aishah kalah dalam pilihan raya yang ditandinginya di negeri kelahirannya di Negeri Sembilan.

Nasib yang sama turut menimpa Herman Tino, yang terkenal dalam peminat Melayu, apabila kalah di Tanjung Karang, dan juga Dayangku Intan yang bertanding atas tiket PKR gagal mengatasi calon Barisan Nasional Azaline Othman, selepas memperoleh hanya 13% daripada jumlah keseluruhan undi.

Pada 2018, adik kepada timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, berentap dengan abangnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa di Selangor.

Tetapi pengacara televisyen itu, Azwan Ali tersungkur.

Persatuan Seniman (Seniman) berkata, kekurangan dana dan pengetahuan dalam dunia politik antara sebab kenapa selebriti gagal.

Presiden Seniman Rozaidi Jamil memberitahu MalaysiaNow anak seni yang mahu berkecimpung dalam politik juga perlu menguasai isu-isu melangkaui pelbagai bidang, bukan sahaja seputar permasalahan melibatkan industri hiburan tanah air.

Akan tetapi, beliau tidak melihat kesalahan beberapa selebriti yang masih menaruh harapan untuk menjadikannya besar dalam politik.

Tetapi beliau menegaskan: “Kegagalan artis yang berkecimpung dalam bidang politik sebelum ini boleh menjadi pengajaran kepada artis.”