Thursday, September 23, 2021

Da’i Syed dibebaskan dengan ikat jamin

Beliau membayar wang ikat jamin berjumlah RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya.

Other News

Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, atau dikenali ramai sebagai Da’i Syed hari ini dibebaskan selepas melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya.

Peguam bela selebriti itu, Syed Amirul Syed Edros berkata bayaran ikat jamin anak guamnya dilunaskan oleh abangnya, Syed Shah Iqram dan pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar.

Menurut Syed Amirul, kegagalan anak guamnya membayar ikat jamin selepas didakwa di kedua-dua mahkamah berkenaan pada 10 Dis lepas menyebabkan dia ditahan di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.

“Urusan di Mahkamah Shah Alam selesai kira-kira pukul 11 pagi tadi dan kemudian dia (Syed Shah Iqmal) dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi urusan di situ pula,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 10 Disember lepas, Syed Shah Iqmal, 25, didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya, dan pada hari yang sama di Mahkamah Shah Alam pula dia menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.

Di Mahkamah Petaling Jaya, dia dikenakan ikat jamin RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tarikh 19 Februari ditetapkan untuk sebutan semula kes, manakala di Mahkamah Shah Alam dia dikenakan ikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada tarikh 25 Jan.

Sementara itu, Syed Shah Iqmal ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan di Mahkamah Petaling Jaya berkata beliau redha dengan ketentuan berkenaan dan menyerahkan hal seterusnya kepada mahkamah.

Katanya buat masa ini, beliau akan berehat sementara waktu dan melepaskan rindu bersama keluarga selepas direman selama 18 hari.

“Saya juga perlukan sedikit ruang untuk mengubat jiwa, mental dan kesedihan saya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles