Sunday, May 9, 2021

SD dikumpul Anwar tak boleh pakai, kata Dr Mahathir

Apa yang berlaku di Parlimen akan menjadi penentu, kata bekas perdana menteri itu.

Other News

Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini dakwaan Presiden PKR Anwar Ibrahim memiliki sokongan dalam bentuk akuan berkanun (SD) tidak memberikan apa-apa makna kerana tidak boleh diambil kira dalam keputusan menjatuhkan atau membentuk kerajaan baru.

Bekas perdana menteri itu berkata, yang paling penting ialah keputusan diambil ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

“Apa yang diambil kira adalah apa yang berlaku di dalam Parlimen. Tetapi, adakah wakil rakyat mahu melakukan sesuatu terhadap negara ini?” katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah di Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu mengulas apabila ditanya pemberita tentang laporan yang mengatakan Anwar memiliki kira-kira 120 SD sebagai percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Dulu, saya juga mendapat SD, Amanah kata sokong saya, semua kata sokong saya. Tapi saya tak menang (jadi perdana menteri semula).

“Kami bukan berada di bawah kawalan beliau.”

“Jadi, SD ni tak boleh pakai,” katanya merujuk kepada kemelut politik yang berlaku selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang susulan peletakan jawatan beliau sebagai perdana menteri pada Februari lalu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata esok akan menjadi penentuan sama ada Anwar benar-benar memiliki sokongan majoriti seperti yang disebut-sebut sejak beberapa hari lalu.

Esok undian bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 untuk bacaan kali ketiga dijadualkan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Mahathir menegaskan kedudukan Anwar selaku ketua pembangkang tidak bermakna beliau berhak memberi sebarang arahan dan perintah kepada ahli Parlimen blok pembangkang di Dewan Rakyat.

“Kami bukan berada di bawah kawalan beliau.”

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan terdapat arahan saat akhir diberikan oleh Anwar kepada pemimpin PH menyebabkan ahli-ahli Parlimen PKR dan DAP tidak meminta undi belah bahagi sehingga menyebabkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan mudah pada bacaan kali pertama.

Ketika itu, hanya 13 ahli Parlimen yang berdiri, kurang dua ahli Parlimen diperlukan mengikut syarat undi belah bahagi dijalankan. Mengikut undi belah bahagi, semua ahli Parlimen mestilah mengundi sebelum belanjawan boleh diluluskan.

Mahathir berkata, Anwar hanya dinamakan sebagai ketua pembangkang dan jawatan itu tidak memberikan beliau kuasa untuk mengarah mana-mana pihak.

“Kami boleh lakukan apa yang kami mahu seperti yang diperuntukkan oleh Parlimen. Saya tak perlu meletakkan sokongan dan taat setia saya kepada ketua pembangkang,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles