- Iklan -
Berita

Penjualan termometer laku bagai pisang goreng panas kerana Covid-19

MalaysiaNow lakukan tinjauan harga dan keuntungan yang diperoleh hasil daripada perniagaan pengimbas suhu inframerah.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Pengawal Keselamatan membuat pemeriksaan suhu kepada pelanggan yang berkunjung ke Menara Liberty, Kuala Lumpur.
Pengawal Keselamatan membuat pemeriksaan suhu kepada pelanggan yang berkunjung ke Menara Liberty, Kuala Lumpur.

Rutin harian melibatkan prosedur dalam norma baru kehidupan kini sudah sebati dengan penduduk di seluruh dunia ketika memasuki bangunan perniagaan mahupun komersial dalam tahun yang cukup mencabar.

Apabila negara memasuki tahun 2020, kerajaan ketika itu masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di seluruh dunia, dan salah satu langkah awal dilaksanakan dengan mewajibkan imbasan suhu kepada orang ramai oleh pengawal keselamatan sebelum dibenarkan memasuki pusat beli-belah, pejabat atau dalam bangunan.

Hampir 12 bulan hidup bersama Covid-19, prosedur yang dilaksanakan kini dilihat bertambah baik.

Walaupun orang ramai masih keliru, mereka tetap yakin menggunakan aplikasi MySejahtera dan mengimbas suhu, dilihat sabar menunggu lampu hijau serta bunyi beep sebelum ia memberitahu mereka sihat.

Bagi pengawal keselamatan pula, mereka tidak sempat melihat telefon sendiri kerana terlalu sibuk menguruskan pelanggan yang hadir.

Oleh kerana imbasan suhu menjadi syarat wajib dalam kehidupan norma baru, permintaan terhadap termometer melonjak di seluruh dunia, seiring dengan perkembangan Covid-19.

Sebuah syarikat penyelidikan pasaran Mordor Intelligence dalam laporannya mengatakan permintaan terhadap peralatan imbasan suhu di Asia Pasifik meningkat sejak kerajaan mewajibkan semua pemilik perniagaan untuk menggunakan termometer inframerah tanpa sentuh.

Alat ini tidak sama seperti termometer tradisional berasaskan merkuri, kerana ia lebih pantas, tidak invasif dan hanya melibatkan bahagian luaran kulit dan bukan dimasukkan ke dalam mulut.

MalaysiaNow melakukan satu tinjauan untuk mengetahui berapa keuntungan yang diperoleh hasil penjualan termometer oleh pengeluar dan pembekal akibat peningkatan permintaan alat itu.

Termometer jenis tradisional sama ada jenis yang perlu dimasukkan ke dalam mulut atau di telingga tidak menunjukkan peningkatan ketara dari segi jualan, kerana ia tidak praktikal untuk digunakan di tempat-tempat awam oleh pengawal keselamatan yang tidak terlatih dalam menggunakannya.

Termometer inframerah terdiri daripada jenis pegang tangan atau tanpa sentuh.

Kedua-dua alat jenis ini dilihat berjaya mengaut hasil yang tinggi terutama produk melibatkan pengilang dari Cina dan pembekal serta peruncit tempatan.

Termometer yang dijual di kedai-kedai dan farmasi lebih mahal jika hendak dibandingkan dengan yang dibeli secara dalam talian.

Tinjauan MalaysiaNow mendapati rata-rata kedai biasa menjual antara harga RM150 hingga RM250 untuk seunit termometer inframerah jenis pegang tangan.

Kebanyakannya merupakan produk berjenama seperti Neutrovis, Microlife, dan Uright.

Termometer tanpa sentuh dijual pada harga lebih mahal, antara RM180 hingga RM300.

Berbeza dengan pembelian secara dalam talian, seunit termometer inframerah jenis pegang tangan boleh dibeli pada harga semurah RM16, manakala termometer tanpa sentuh pula dijual dengan harga RM70.

Sebuah farmasi di Shah Alam memberitahu MalaysiaNow mereka menjual termometer tanpa sentuh pada harga RM290 manakala jenis pegang tangan pula berharga RM150. Setiap bulan mereka mampu menjual sebanyak 10 unit, dan mampu memperolehi kadar pusing ganti sekurang-kurangnya RM4,000.

Bagaimanapun, sebuah peruncit dalam talian mampu menjual sehingga 4,000 unit termometer tanpa sentuh dengan harga RM100 seunit, dengan jumlah jualan sehingga RM400,000. Pada masa sama mereka juga mampu menjual sehingga 2,000 unit termometer jenis pegang tangan dengan harga RM25 seunit, mencatat pendapataan sekitar RM50,000.

Sebuah syarikat pengeluar utama di China dilaporkan menjual sehingga 150,000 unit termometer inframerah jenis pegang tangan setiap bulan pada harga RM36 seunit. Hasil jualan itu mencecah sehingga RM5.4 juta.

Sementara itu sebuah syarikat pengeluar termometer tanpa sentuh memberitahu MalaysiaNow, mereka mampu menjual sehingga 150,000 unit sebulan dengan harga RM60 seunit.

Mereka mampu menjana sehingga RM9 juta sebulan hasil daripada penjualan produk itu.

Penjualan pengimbas suhu dijangka kekal relevan meskipun Covid-19 sudah lenyap dan bukan lagi satu ancaman.