- Iklan -
Berita

49 syor laporan ERC akan dilaksanakan ikut keutamaan

Laporan ERC adalah hasil kajian lebih 2 tahun dan diserah kepada PM pada 27 Ogos lalu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan perlu meneliti kesemua syor yang dikemukakan ERC bagi melakukan penilaian terhadap kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya. Gambar: Bernama
Kerajaan perlu meneliti kesemua syor yang dikemukakan ERC bagi melakukan penilaian terhadap kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya. Gambar: Bernama

Kerajaan sedang meneliti 49 syor penambahbaikan berkaitan perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pelaksanaan pilihan raya di Malaysia yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kepada perdana menteri, 27 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan, berkata ERC menyerahkan syor berkenaan selepas mengambil masa selama lebih kurang dua tahun untuk menyiapkan kajiannya pada Ogos lalu.

Katanya kerajaan perlu meneliti satu per satu syor yang dikemukakan untuk membuat penilaian terhadap kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya.

“Kerajaan memerlukan masa untuk membuat penelitian kerana perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi khususnya badan berkepentingan utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Justeru, ERC telah menyenaraikan pelan tindakan secara berfasa. Antaranya ialah mencadangkan agar diwujudkan sebuah badan penyelaras dan pemantauan tindakan untuk menyelaras dan memantau tindakan oleh pelbagai agensi kerajaan terhadap setiap syor dikemukakan, sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) yang ingin mengetahui sama ada laporan ERC itu akan didedahkan kepada umum.

Menurut Takiyuddin, ERC juga akan dikaji dengan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi membolehkan kerajaan menilai, menyelaras dan memantau semua cadangan dan dapatan yang disyorkan ERC membabitkan urusan pilihan raya di negara ini.

“Kerajaan sudah pasti akan mengumumkan laporan kajian jawatankuasa itu nanti malah jika ada keperluan kita akan bentangkannya di Dewan Rakyat untuk dibahaskan secara langsung dan tidak langsung.”

Tambah Takiyuddin, sebaik sahaja kajian selesai, satu laporan berhubung dengan hasil dapatan kajian berserta syor-syor penambahbaikan akan disediakan.

“Laporan yang dikemukakan oleh ERC bukan sahaja aspek perubahan kepada proses pilihan raya, namun juga perubahan dalam pelbagai aspek pengurusan kerajaan yang turut membabitkan pelbagai kementerian dan agensi.”