- Iklan -
Berita

3,875 kanak-kanak dilapor didera sehingga September

Kes penderaan turun hampir separuh berbanding tahun lepas sebanyak 6,061.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 1,120 kes melibatkan penderaan fizikal. Gambar: AFP
Sebanyak 1,120 kes melibatkan penderaan fizikal. Gambar: AFP

Kes penderaan kanak-kanak dilaporkan menurun hampir separuh berbanding tahun lepas daripada 6,061 kepada 3,875 pada September tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Katanya daripada jumlah itu, 1,120 kes melibatkan penderaan fizikal, 1,373 penderaan seksual, 1,251 kes pengabaian dan baki 131 kes melibatkan penderaan biasa.

Siti Zailah berkata, pelbagai program dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi menangani kes penderaan dalam negara ini, namun kerjasama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti amat diperlukan yang merupakan teras utama dalam penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

“Di antara program yang dilaksanakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pertama mengadakan sistem semakan pesalah jenayah seksual dalam daftar kanak-kanak. Kedua ialah senarai semak panduan infografik bagi pemilihan pengasuh dan yang ketiga program keselamatan kanak-kanak dan juga keempat program pendidikan keselamatan keluarga.

“Kita juga memperluaskan talian ekasih 15999 dan WhatsApp 019-2615999 bagi perkhidmatan sokongan kaunseling dan pertanyaan serta aduan yang melibatkan isu-isu penderaan dan sebagainya serta pelantikan pembantu pelindung untuk kes-kes yang melibatkan penderaan kanak-kanak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah menjawab soalan, Sabri Azit (PAS-Jerai) tentang statistik penderaan kanak-kanak yang berlaku hingga akhir tahun ini dan langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan berlakunya isu penderaan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam pada itu, Siti Zailah menyatakan penderaan kanak-kanak merupakan perkara yang dipandang serius oleh pihak kementerian dan hasil kajian mendapati punca utama yang menjadi kes penderaan semakin parah di kalangan komuniti disebabkan masalah kewangan serta ibu bapa terlibat dengan penagihan dadah di samping pendera itu sendiri mengalami masalah mental.

“Selain talian ekasih kita juga adakan program keselamatan kanak-kanak untuk memberi kesedaran undang-undang yang melibatkan pelajar sekolah, guru-guru, penjaga dan masyarakat.

“Setakat ini sehingga 20 Mac 2020, program ini telah melibatkan 96,797 kanak-kanak melibatkan 414 sekolah. Di samping itu, program pendidikan keselamatan keluarga dilaksanakan bagi memberi kesedaran khusus kepada masyarakat berkaitan dengan keselamatan siber dan sebagainya selain menguatkuasa undang-undang.”