- Iklan -
Berita

Speaker benarkan 3 ahli Parlimen dikuarantin mengundi ikut SOP

3 ahli Parlimen perlu lengkap memakai PPE dan ditempatkan di dalam bilik khas.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggendalikan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama.
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggendalikan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama.

Tiga ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) kerana menjadi kontak rapat individu positif Covid-19 akan dibenarkan hadir ke Parlimen mengikut SOP Kementerian Kesihatan, kata Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

“Saya dengar ada yang kena kuarantin.

“Mereka akan dibenarkan datang mengundi sekiranya mendapat kebenaran daripada KP Kesihatan (Dr. Noor Hisham) dan mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan oleh beliau,” katanya kepada MalaysiaNow.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan berkata, ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut akan ditempatkan di satu ruangan khas di Dewan Rakyat bagi membolehkan mereka mengikuti proses mengundi bagi peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dengan berpakaian lengkap perlindungan diri (PPE).

Tiga ahli Parlimen terbabit adalah Dr Adham Baba, M Saravanan manakala di pihak pembangkang, P. Prabakaran (PKR-Batu) yang turut dikenakan HSO.

Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat tahun ini yang akan berlangsung Isnin dan Selasa ini menyaksikan lima lagi kementerian akan melalui sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Lima lagi kementerian yang tersebut ialah Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sebelum ini, Adham yang juga ahli Parlimen Tenggara mengesahkan beliau perlu menjalani perintah HSO sehingga 18 Disember ini kerana menjadi kontak rapat seorang petugas media yang disahkan positif Covid-19.

Manakala Saravanan (BN-Tapah) memaklumkan, beliau menjalani perintah kuarantin itu selepas menjadi kontak rapat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Shahul Hameed Dawood, yang disahkan positif Covid-19.