- Iklan -
Berita

Harimau Malaya, dulu ikon kini tinggal nama?

Pak belang diancam kepupusan dek kerana pemburu haram berleluasa tanpa tindakan tegas.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Harimau Malaya dianggarkan kurang dari 200 ekor kini dimasukkan ke dalam 'senarai merah' IUCN.
Harimau Malaya dianggarkan kurang dari 200 ekor kini dimasukkan ke dalam 'senarai merah' IUCN.

Harimau Malaya menjadi lambang yang sering digunakan sebagai simbol-simbol rasmi kerajaan dan juga merupakan ikon negara.

Raja rimba itu juga menghiasi logo kereta nasional dan turut menjadi nama bagi pasukan bola sepak kebangsaan.

Wajahnya turut digunakan pada pelbagai jenama lain: termasuk bank tertua di Malaysia sehinggalah ke minyak angin tradisional yang dipercayai sejak turun-temurun.

Namun semua itu bakal lenyap, harimau Malaya mungkin sekadar menjadi simbol mitos.

Sang belang itu kini di ambang kepupusan dan ia amat membimbangkan.

Spesies ini dianggarkan tinggal kurang daripada 200 ekor dalam habitat liar, harimau Malaya kini dimasukkan ke dalam “senarai merah” Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) yang berpangkalan di United Kingdom.

Senarai itu menyediakan maklumat paling komprehensif mengenai harimau Malaya dan juga spesies lain yang diancam kepupusan.

Seorang aktivis alam sekitar mengatakan kerajaan negeri patut dipersalahkan kerana melakukan penerokaan hutan sehingga memusnahkan habitat harimau, dan ketiadaan peruntukan undang-undang khusus turut menyebabkan angka haiwan itu terus menurun.

“Akta perhutanan yang ada sekarang semuanya sudah ketinggalan zaman,” kata Shariffa Sabrina kepada MalaysiaNow.

“Jika hutan dimusnahkan, harimau akan mati. Tak lama lagi kita hanya boleh melihatnya di pusat-pusat pemulihan dan zoo.”

Katanya, walaupun raja rimba itu dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, harimau Malaya berkemungkinan diancam kepupusan apabila hutan-hutan ditebang dan pemburu haram bebas memburu tanpa tindakan tegas dikenakan.

Selain kehilangan habitat semula jadi, harimau Malaya turut diancam pedagang haiwan haram yang tiada belas kasihan.

“Pembalakan membuka banyak laluan balak untuk pemburu haram.”

Dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), mereka sering menangkap kumpulan pemburu haram di Taman Negara di seluruh negara.

Kebanyakan pemburu itu merupakan penduduk tempatan yang menjadi pemandu arah sekumpulan pemburu haram warga asing masuk ke dalam hutan negara bagi memburu harimau dan spesies haiwan terancam lain.

Walaupun dengan jumlah denda RM500,000 dan lima tahun penjara jika disabitkan kesalahan melakukan pemburuan haram, ia masih tidak mampu untuk menghalang mereka.

“Kami mencadangkan supaya hukuman itu dipinda dengan menaikkan denda maksimum RM1 juta dan 15 tahun penjara,” kata Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hashim kepada MalaysiaNow.

Shariffa bersetuju kerana hukuman terhadap pemburu haram ketika ini terlalu ringan.

“Pembalakan membuka banyak laluan balak untuk pemburu haram.”

Beliau juga mendakwa masalah rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan turut menjadi punca.

“Kerajaan Thailand mengarahkan perintah tembak dikenakan untuk semua pemburu haram. Jadi, semua pemburu itu datang ke Malaysia,” kata Shariffa, yang merupakan presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia atau Peka.

Beliau mengatakan pemburu haram di negara ini kebiasaannya terlepas daripada hukuman.

“Saki baki harimau Malaya kini lari ke Thailand kerana mereka lebih tegas dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan.”

Kerajaan kini menubuhkan Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (NTCC) di Lanchang, Pahang.

Pusat konservasi, yang dijangka siap sepenuhnya pada April, akan membiak harimau dalam kurungan sebelum dilepaskan ke habitat liar bagi menambah kembali populasi haiwan itu dalam hutan.

Namun, Shariffa meraguinya.

“Pusat konservasi bukan habibat semula jadi harimau. Ia sama seperti zoo.

“Dan apa akan jadi jika pembiakan itu bertambah? Di mana hendak dilepaskannya kerana hutan kita semakin mengecil dengan cepat?”