- Iklan -
Berita

1,229 kes baru Covid-19, 435 di Selangor

1,309 pesakit pulih dan empat kematian dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang anggota tentera membuat rondaan di kawasan sekitar Hentian Bas Kajang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Gambar dirakam pada 28 Oktober lalu.
Seorang anggota tentera membuat rondaan di kawasan sekitar Hentian Bas Kajang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Gambar dirakam pada 28 Oktober lalu.

Sebanyak 1,229 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk dua jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 83,457 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,309 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 69,393 kes atau 83.1%.

“Selangor masih melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 435 kes atau 35.4%. Sebanyak 344 kes (79.1%) dilaporkan daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat.

“Sabah merekodkan 333 kes (27.1%) dan Kuala Lumpur sebanyak 131 (10.7%),” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, kes aktif kini berjumlah 13,667 dengan 115 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 65 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 415 orang,” katanya.

Terdapat enam lagi kluster baru dikesan membabitkan Kluster Hujung Pasir di daerah Labuan; Kluster Lestari (Petaling, Hulu Langat, Klang, Sepang); Kluster Desa Idaman (Kulai); Kluster Tapak Bina Rimbun (Seremban); Kluster Tanjung Suria (Sepang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor) dan Kluster Kuala (Kuantan).