- Iklan -
Berita

Bersatu, PAS, Umno mungkin guna logo masing-masing pada PRU15

Umno dan Bersatu masih berbincang mengenai pembahagian kerusi di kawasan majoriti Melayu.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi

Parti-parti dalam gabungan kerajaan sekarang mungkin akan menggunakan lambang masing-masing untuk berdepan pilihan raya akan datang, tetapi wujud kebimbangan dalam kalangan dalaman parti langkah itu tidak mampu menghentikan ancaman parti lain terhadap kestabilan kerajaan dengan menyasarkan rakan-rakan sekutu di luar pakatan.

MalaysiaNow difahamkan PAS dan Bersatu, yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan untuk menggunakan logo parti masing-masing.

Seorang pemimpin tetinggi PAS mengesahkan perkara ini.

“Setakat ini, keputusan yang dibuat untuk guna logo kita sendiri. Masing-masing ada hujah sendiri,” kata Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Sementara sumber dalaman yang dekat dengan pemimpin PN dan Barisan Nasional (BN) mengatakan tindakan parti-parti itu dengan jelas mempertaruhkan logo mereka yang lebih dikenali, dan langkah itu mungkin belum mampu menghalang sebarang perubahan dalam pakatan politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pada pandangan Suruhanjaya Pilihan Raya, bertanding menggunakan logo sendiri mungkin tidak mampu menjadikan parti tunggal itu memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan.

“Pada malam pilihan raya wujud kebimbangan, kemungkinan beberapa pemimpin daripada parti yang memiliki kerusi lebih banyak berunding dengan mereka di luar gabungan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow, yang dipercayai merujuk kepada tindakan bekas perdana menteri Najib Razak dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas BN tumbang pada pilihan raya 2018.

“Setakat ini, keputusan yang dibuat untuk guna logo kita sendiri. Masing-masing ada hujah sendiri,” kata Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Dalam pilihan raya itu, parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) di semenanjung memutuskan untuk menggunakan logo PKR, kerana pendaftaran gabungaan itu belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

PN, pakatan yang membentuk kerajaan hari ini, terdiri daripada Bersatu, PAS, GPS dan beberapa parti lain di Sabah dan Sarawak.

Ia ditubuhkan pada Februari lalu sebagai platform untuk parti-parti menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin bagi membentuk kerajaaan selepas pentadbiran PH tumbang.

Walaupun Umno yang memiliki lebih daripada 30 kerusi menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, setakat ini mereka masih teguh bersama BN, dengan rakan-rakan MCA dan MIC yang masing-masing mempunyai dua kerusi.

Pada September lalu, parti Melayu itu menggunakan logo “dacing” ketika pilihan raya negeri di Sabah, manakala Bersatu dan sekutunya memilih menggunakan logo PN.

Walaupun menggunakan logo baru, PN berjaya memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN dalam pilihan raya negeri itu, membolehkannya memilih calon ketua menteri.

‘PAS, Umno tidak akan bertembung’

Terdapat spekulasi PRU15 mungkin diadakan pada Mac tahun hadapan, bagi membolehkan pemimpin PN menghentikan pertikaian mengenai keabsahan kerajaan.

Menteri kanan Mohamed Azmin Ali baru-baru ini mendedahkan kerajaan merancang untuk mengadakan pilihan raya umum pada September, tetapi terpaksa dibatalkan selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara.

Zawawi yang juga ahli Parlimen Pasir Puteh tidak menolak pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat, katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, PAS telah mengadakan pertemuan bersama Umno dan Bersatu bagi berbincang mengenai persiapan menghadapi pilihan raya itu.

Beliau berkata, PAS dan Umno hampir mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi, walaupun terdapat beberapa laporan mengatakan kedua-dua parti itu bertelingkah di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Isu pembahagian kerusi 80% selesai,” katanya.

“Tinggal Umno dengan Bersatu sahaja ada konflik sikit.”

Zawawi berkata PAS dan Umno tidak akan bertembung pada kerusi sama baik di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana masing-masing sudah mempunyai watikah.

“Jika ada yang masih berkeras untuk bertanding tanpa persetujuan parti, dia boleh jadi calon bebas,” katanya.

Pada September lalu, Umno, PAS dan Bersatu mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa bersama bagi membincangkan agihan kerusi membabitkan ketiga-tiga parti Melayu itu, bagi memastikan pertanding satu lawan satu dengan PH.

Zawawi meluahkan rasa yakin perbezaan pandangan mengenai pembahagian kerusi antara Umno dan Bersatu dapat diatasi dan PAS akan menjadi “orang tengah”.

“Sebab itu penting untuk menjadi orang tengah walaupun boleh jadi sakit jiwa,” katanya.

“Antara PAS dan Umno, kami mungkin dapat majoriti mudah. Tetapi jika PAS, Umno dan Bersatu bergabung, kita boleh capai majoriti dua pertiga,” katanya dengan yakin.

Sementara itu, Zawawi berkata partinya sudah bersedia untuk pilihan raya akan datang.

“PAS 100% bersedia,” katanya, dan menambah 10% calon PAS merupakan muka baru.