- Iklan -
Berita

1,810 kes baru Covid-19, 829 di Selangor

937 pesakit pulih dan enam kematian dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan dilihat memakai pelitup muka ketika membeli-belah di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan.
Seorang pelanggan dilihat memakai pelitup muka ketika membeli-belah di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Sebanyak 1,810 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 11 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 80,309 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 937 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 67,173 kes atau 83.6%.

“Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 829 kes atau 45.8%. Sebanyak 685 kes (82.6%) dilaporkan daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat.

“Sabah merekodkan 532 kes (29.4%) dan Kuala Lumpur sebanyak 132 (7.3%),” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, kes aktif kini berjumlah 12,734 dengan 123 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 63 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat enam lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 402 orang,” katanya.

Terdapat enam lagi kluster baru dikesan membabitkan Kluster Sungai Putus di daerah Klang, Selangor; Kluster Erima (Gombak, Selangor) dan Kluster Tapak Bina Jalan Berangan (Lembah Pantai, Titiwangsa, dan Kepong, Kuala Lumpur).

Satu kluster turut dikesan di daerah Kulai dan Johor Bahru, Johor iaitu Kluster Langkasuka.

Baki dua lagi kluster adalah Kluster Jalan College di daerah Seremban, Negeri Sembilan dan Kluster Sungai Keluang melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Selatan di Pulau Pinang.