- Iklan -
Berita

Filem ‘Babi’ arahan Namewee sebenarnya tak wujud, kata laporan

Wartawan hairan bagaimana sebuah filem sekadar mempunyai treler dan video muzik tercalon dalam festival luar negara.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Penerbit kontroversi Namewee.
Penerbit kontroversi Namewee.

Sebuah filem hasil karya penerbit kontroversi Namewee dipersoal kewujudannya meskipun didakwa telah menerima beberapa pencalonan dalam festival luar negara.

Seorang wartawan Jerman yang berpangkalan di Jakarta mengatakan filem “Babi”, yang pernah dibuat laporan polis oleh pemuda Perikatan Nasional (PN) bulan lepas kerana poster berunsur perkauman, sebenarnya “tidak wujud”.

“Apa yang ada hanya treler dan video muzik. Sayap pemuda PN bagaimanapun menolong Namewee dengan melaporkan perkara itu,” tulis Marco Stahlhut dalam akhbar Jerman Frankfurter Allgemeine Zeitung.

MalaysiaNow sudah menghubungi Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, untuk mendapatkan komen.

Dia sebelum ini mendakwa filem “Babi” disenarai pendek oleh festival filem di Berlin, Toronto, Bangkok dan Taiwan.

Filem itu mengisahkan tentang kejadian rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah yang terletak dalam pekan kecil di selatan tanah air pada tahun 2000, di mana ketika itu Malaysia “masih berada di bawah pemerintahan sebuah parti yang dominan”, tulis Namewee dalam Facebook Ogos lalu.

Dakwanya kisah itu tidak pernah mendapat liputan disebabkan “media dikawal dan disekat”.

“Saya percaya apabila dengar nama filem itu sendiri orang ramai akan takut… dengan peruntukan yang amat-amat sedikit saya masih mampu untuk menyiapkan filem itu,” tulisnya.

Stahlhut yang dihubungi MalaysiaNow berkata, beliau gagal menemui walaupun “seorang yang pernah menonton filem itu”.

Namun, Stahlhut mempersoalkan dakwaan Namewee mengenai pencalonan filem itu, dengan mengatakan festival filem di Berlin dan Toronto lebih berminat dalam soal “kewangan berbanding estetik” dalam memutuskan pencalonan dan anugerah.

Katanya dakwaan Namewee yang filemnya turut diiktiraf oleh Festival Filem Antarabangsa Thai di Bangkok turut meragukan.

Dia mengatakan festival filem itu hanya mula diperkenalkan pada 2018, dan tahun ini pihak penganjur sekadar menayangkan treler secara dalam talian.

Stahlhut berkata satu lagi festival filem yang dinamakan oleh Namewee, iaitu Festival Taipei Golden Horse, tidak dapat mengesahkan mereka sudah menonton filem itu.

“Ia sesuatu yang mengejutkan sebuah festival filem yang besar dan dikenali seperti ‘Golden Horse’ bertindak mencalonkan sebuah filem untuk menerima hadiah tanpa menontonnya terlebih dahulu, ia tentu akan menimbulkan persoalan mengenai pencalonan yang diterima,” tulisnya.

Katanya Sky Films, syarikat pengedar filem yang berpangkalan di Taiwan, juga tidak dapat memberikan ulasan mengenai filem itu.

Tambahnya syarikat itu memberitahunya agar membuat ulasan mengenai filem itu berdasarkan siaran media yang diberikan termasuk treler dan video muzik.

Stahlhut yang dihubungi MalaysiaNow berkata, beliau gagal menemui walaupun “seorang yang pernah menonton filem itu”.

“Filem betul – bukan sekadar treler, bukan video muzik, tetapi filem itu sendiri. Saya tahu ia kedengaran seperti satu teori konspirasi, tetapi saya sendiri tidak pasti sama ada filem ‘Babi’ itu benar-benar wujud,” tambahnya.

Beliau juga melihat ulasan yang dibuat beberapa media di Malaysia yang memuji filem Namewee.

“Semua mereka tidak pernah menonton filem itu,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.