- Iklan -
Berita

Dipaksa makan babi setiap Jumaat, dedah tahanan Uighur

Tahanan turut didera secara fizikal dan mental.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan beberapa penduduk Islam etnik Uighur selesai bersolat di sebuah masjid di bandar Kashgar, wilayah Xinjiang. Hampir 90% penduduk di wilayah itu beragama Islam. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa penduduk Islam etnik Uighur selesai bersolat di sebuah masjid di bandar Kashgar, wilayah Xinjiang. Hampir 90% penduduk di wilayah itu beragama Islam. Gambar: AFP

Seorang tahanan etnik Uighur dihambat igauan ngeri meskipun selepas dua tahun dibebaskan, kerana dipaksa makan daging babi ketika dalam tahanan di sebuah kem di wilayah Xinjiang China.

Sayragul Sautbay yang merupakan seorang doktor dan pendidik menceritakan kembali pengalaman itu dalam satu wawancara bersama stesen televisyen al Jazeera baru-baru ini.

Katanya, beliau bersama-sama tahanan etnik Uighur beragama Islam lain akan diberi makan daging babi pada setiap hari Jumaat.

“Setiap hari Jumaat, kami dipaksa makan daging babi.

“Mereka sengaja memilih hari berkenaan kerana tahu ia merupakan hari yang suci buat umat Islam, dan jika menolak akan dihukum lebih teruk,” katanya dalam satu laporan yang diterbitkan stesen televisyen berkenaan.

Sautbay yang kini menetap di Sweden berkata, apa yang dialami dirinya itu sesuatu yang amat sukar digambarkan dengan kata-kata selepas setiap kali dipaksa memakan daging babi.

“Saya merasakan seperti orang yang berbeza. Sekeliling saya bertukar gelap. Amat sukar untuk menelan perkara itu,” katanya yang menerbitkan sebuah buku menceritakan penderitaan yang dialami termasuk penderaan fizikal, seks dan dipaksa tinggal dalam persekitaran kotor.

“Setiap hari Jumaat, kami dipaksa makan daging babi.

Penindasan terhadap etnik Uighur tidak terbatas hanya kepada budaya dan agama, malah turut meletakkan struktur sosial masyarakat sebagai salah satu fokus yang dilaksanakan di kem latihan ditubuhkan sejak 2017 itu.

Seorang pakar antropologi dari Jerman, Adrian Zenz, berkata dasar sekularisme yang dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada usaha aktif bagi mempromosi hab penternakan babi di wilayah Xinjiang yang hampir 90% penduduk di situ beragama Islam.

Beliau yang banyak membuat kajian mengenai etnik Uighur mengatakan dalam satu artikel pada Mei sebuah ladang baru dibina di kawasan selatan Kashgar menyasarkan pengeluaran sehingga 40,000 ekor babi setahun.

“Ladang berkeluasan 25,000 meter persegi itu ditandatangani pada hari pertama bulan Ramadan tahun ini, April lalu.

“Hasil ternakan babi di ladang itu bukan bertujuan untuk dieksport tetapi ia adalah bagi memastikan ‘bekalan babi mencukupi’ di Kashgar,” katanya.

Tambahnya ia adalah strategi sekularisme untuk mengubah etnik Islam Uighur menerima parti komunis di negara itu.