- Iklan -
Berita

22-0: Belanjawan 2021 KKMM lulus, J-KOM mula tahun depan

Undi belah bahagi bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyaksikan 107 bersetuju, 100 tidak setuju dan 13 tidak hadir.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengumumkan undi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diluluskan secara undian belah bahagi dengan 107 setuju, 100 tidak setuju manakala 13 tidak hadir di Dewan Rakyat hari ini.

KKMM di bawah kendalian Saifuddin Abdullah menerima peruntukan RM2.347 bilion selepas RM45 juta dipotong dalam peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

Ia merupakan undi belah bahagi yang kelapan bagi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 setakat ini.

Hari ini, pembangkang Pakatan Harapan (PH) mengemukakan usul supaya peruntukan kepada J-KOM dipotong secara keseluruhan bagaimanapun undian suara majoriti bersetuju supaya ia dikekalkan.

Usul supaya peruntukan itu dipotong dan dihapuskan dibuat Wilfred Madius Tangau (Warisan-Tuaran), Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), Ahmad Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Fuziah Salleh (PH-Kuantan) dan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Antara alasan yang diberikan peruntukan ini perlu diberikan kepada jabatan dan kementerian lain, seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memerangi wabak Covid-19.

Ketika berucap membentangkan usul itu Wilfred berkata, pihaknya menolak peruntukan kepada jabatan berkenaan kerana ia lebih merupakan penyebaran propaganda kerajaan dan dana itu sepatutnya diberikan kepada KKM untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Maria pula berkata, kewujudan J-KOM tidak diperlukan pada ketika ini memandangkan kerajaan sudah mempunyai agensi untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat di seluruh negara dan disokong Fuziah yang mencadangkan J-KOM dihapuskan secara keseluruhan.

Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) bagaimanapun menolak usul itu dan menyokong peruntukan kepada J-KOM, sekali gus membidas alasan pembangkang yang sengaja memainkan persepsi kononnya perlu utamakan peruntukan kepada usaha menangani wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan tidak pernah mengurangkan belanjawan untuk Covid-19, namun peruntukan kepada kementerian dan jabatan lain juga perlu diberikan bagi memastikan perjalanan dan kebajikan rakyat yang terkesan tidak diabaikan.

Pendirian Nazri disokong Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menegaskan peruntukan kepada kementerian lain perlu diberikan supaya rakyat tidak kelaparan.

“Tuduhan kata J-KOM untuk nak jaga kerajaan sahaja, sampai propaganda kerajaan, bagi saya kalau rakyat tak setuju apa yang dilakukan kerajaan kalau mereka rasa tidak baik, rakyat akan tolak juga walaupun ada J-KOM.

“Jadi bagi saya J-KOM ini baik untuk pastikan maklumat disampaikan kepada rakyat tepat dan peluang pekerjaan diberikan semula kepada kakitangan Jasa yang dipecat pada zaman PH sebelum ini,” katanya.

Saifuddin dalam penggulungan berkata, J-KOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana.

“Kaedah yang digunakan ialah membangunkan komuniti khususnya di peringkat akar umbi, mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme menggunakan pendekatan mengupayakan komuniti.

“Justeru, saya ingin memberi jaminan J-KOM bukan jentera propaganda kerajaan kerana kita mahu menjadikannya komunikasi dua hala. Kita mahu mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat,” katanya.