- Iklan -
Berita

20-0 selepas belanjawan Kementerian Belia dan Sukan lulus dengan undian suara

Peruntukan RM940 juta lulus dengan undian suara selepas ia dibahaskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan bagi Kementerian Belia dan Sukan dengan undian suara. Gambar: Bernama
Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan bagi Kementerian Belia dan Sukan dengan undian suara. Gambar: Bernama

Peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM940 juta lulus dengan undian suara selepas ia dibahaskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Ini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya meluluskan pembentangan semua 20 kementerian di peringkat jawatankuasa meskipun sebelum ini dikhabarkan pembangkang Pakatan Harapan (PH) akan menguji semua kementerian dalam usaha untuk menggagalkannya.

Menterinya Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican ketika menggulung berkata RM240 juta diperuntukkan pada Belanjawan 2021 khususnya bagi sektor sukan di negara ini menyaksikan peruntukan membabitkan beberapa pecahan.

Katanya, ini merangkumi RM28 juta bagi pelaksanaan program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire OKU sementara RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggarakan kemudahan sukan seluruh negara.

Menurut Reezal, RM55 juta disediakan bagi program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuklah RM15 juta kepada pembangunan e-Sukan.

Katanya, RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim Tekun Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan manakala RM19 juta diperuntukkan bagi melaksanakan agenda nasional Malaysia Sihat bagi tujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat.