- Iklan -
Berita

Anak kepada lelaki warganegara Malaysia juga berisiko dwi kerakyatan, kata LFL

Lawyers for Liberty menggesa pindaan perlembagaan untuk menggantikan perkataan 'bapa' kepada 'ibu bapa'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita melihat dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia atau MyKad. Gambar: AFP
Seorang wanita melihat dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia atau MyKad. Gambar: AFP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar tindakan kerajaan masih meneliti pemberian taraf kewarganegaraan ke atas anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia dengan menggesa pindaan perlembagaan untuk memberi hak golongan berkenaan sama seperti lelaki.

Koordinator LFL Zaid Malek berkata satu pertimbangan khusus perlu diberikan bagi membolehkan kaum wanita warganegara mendapatkan taraf kewarganegeraan anak mereka mengikut keluhuran undang-undang.

“Ini boleh dilaksanakan dengan meminda Bahagian II dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan ‘bapa’ kepada ‘ibu bapa’.

“Pindaan tersebut akan selaras dengan aspirasi Perkara 8(2) Perlembagaan sendiri, di mana tiada diskriminasi berdasarkan gender,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, bayi yang lahir di luar negara dengan bapa memiliki kewarganegaraan Malaysia akan dianugerahkan taraf warganegara secara automatik.

Mereka yang lahir dengan ibu warganegara Malaysia bagaimanapun perlu memohon untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

“Ini boleh dilaksanakan dengan meminda Bahagian II dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan ‘bapa’ kepada ‘ibu bapa’.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said mempertahankan tindakan tersebut di Dewan Rakyat mengatakan ia bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berhujah di negara lain, anak yang dilahirkan di luar negara akan mengikut taraf kewarganegaraan ayah mereka, dan kerana itu, wujud kemungkinan berlaku dwi kerakyatan sekiranya anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing.

Bagaimanapun, Zaid menyifatkannya sebagai “mengarut” untuk menyebut “bayi baru lahir mampu mengancam keselamatan dan kedaulatan negara hanya kerana mereka diberikan dwi kerakyatan”.

“Jika benar begitu, kerajaan juga patutnya menghalang lelaki warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing mendapat kerakyatan kepada anak-anak mereka menggunakan alasan yang sama iaitu ‘isu keselamatan’,” katanya.

“Risiko yang sama iaitu dwi kerakyatan mungkin timbul dalam kalangan anak-anak yang dilahirkan oleh lelaki warganegara Malaysia dengan isteri rakyat asing. Mengapa diskriminasi terhadap wanita?”