- Iklan -
Berita

Hampir 100,000 hilang pekerjaan sejak Oktober lalu, kata menteri

Kesan pandemik Covid-19 menyebabkan 99,696 orang hilang pekerjaan dan memohon SIP Perkeso.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 99,696 orang hilang pekerjaan akibat Covid-19.
Sebanyak 99,696 orang hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Kementerian Sumber Manusia mendedahkan hampir 100,000 pekerja kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerja oleh majikan di Malaysia akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua, mulai 14 Oktober 2020.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, data kementerian menunjukkan jumlah pemberhentian pekerja mengikut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 27 November 2020 berjumlah 99,696 orang.

Bagaimanapun, Saravanan berkata pada tempoh sama, 120,296 orang daripada 372,934 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan.

“Negara melalui tujuh bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran pandemik Covid-19. Sejak 10 Jun 2020, PKP Pemulihan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi pada paras optimum.

“Pada masa yang sama, pelbagai pakej rangsangan disediakan kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi termasuk pasaran buruh.

“Oleh yang demikian, penambahbaikan berterusan dapat diperhatikan dalam kedudukan tenaga buruh walaupun pada tahap sederhana.

“Perkara ini dicerminkan oleh pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam guna tenaga sejak Jun 2020, serta kadar pengangguran yang menunjukkan trend penurunan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Saravanan berkata pada tempoh sama, 120,296 orang daripada 372,934 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan.

Beliau menjawab soalan Ahmad Jazlan (BN-Machang) yang meminta kementerian sumber manusia menyatakan jumlah pekerjaan yang terjejas ekoran PKPB kali kedua yang bermula 14 Oktober 2020 lalu dan sejauh mana memberi impak kepada industri pekerjaan dan ekonomi buruh secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekerja-pekerja dalam sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan yang amat terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, berdasarkan STB juga, kadar pengangguran tertinggi pada tahun 2020 dicatatkan pada Mei 2020 iaitu sebanyak 5.3% atau 8,261 orang.

“Pemulihan pasaran buruh Malaysia dapat diperhatikan dengan kadar pengangguran menurun daripada paras tertinggi 5.3% kepada 4.9% (7,732 orang) pada Jun 2020. Kadar pengangguran terus menurun kepada 4.7% (7,451 orang) pada Julai 2020 dan kekal pada kadar 4.7% (7,416 ribu orang) pada Ogos 2020.

“Data terkini STB pada September 2020 pula menunjukkan kadar pengangguran menurun kepada 4.6% dengan bilangan penganggur seramai 7,375 ribu orang.

“Adalah dijangka bahawa kadar pengangguran pada Disember 2020 akan melihat penurunan kepada 4.5% dan trend penurunan kadar pengangguran ini akan berterusan ke tahun 2021.”

Dalam pada itu, Saravanan berkata Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah (PSU) dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Perkeso berjaya menyelamatkan kira-kira 300,000 majikan daripada gulung tikar dan 2.72 juta pekerja dari dibuang kerja sehingga hari ini.

Katanya, dengan peruntukan RM18 bilion kerajaan berjaya menyelamatkan kira-kira 2.7 juta pekerja di negara ini daripada dipecat menerusi inisiatif PSU.

“KSM melalui Perkeso sudah menambah baik portal JobMalaysia kepada MyFutureJob bagi membantu pekerja yang dibuang kerja mendapat pekerjaan baru dengan lebih mudah dan cepat.

“Kita juga menyediakan insentif berbeza kepada majikan yang mengambil pekerja dalam kalangan mereka berusia 40 tahun ke atas dan golongan orang kurang upaya (OKU).

“Inilah antara insentif diambil oleh kerajaan bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan dan menurunkan kadar pengangguran akibat penularan pandemik Covid-19, sejak Mac lalu.”