- Iklan -
Berita

Covid-19 lahirkan golongan ‘miskin baru’, kata ahli ekonomi

Golongan miskin baru beri cabaran kepada usaha kerajaan membasmi kemiskinan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Golongan miskin baru adalah kumpulan masyarakat yang mudah terancam atau rentan.
Golongan miskin baru adalah kumpulan masyarakat yang mudah terancam atau rentan.

Pandemik Covid-19 yang mengucar-ngacirkan ekonomi negara melahirkan satu golongan baru dikenali sebagai “miskin baru”, kata pakar ekonomi.

Madeline Berma mengatakan golongan miskin baru adalah kumpulan masyarakat yang mudah terancam atau rentan terdiri daripada kumpulan B40, M40 dan T20, yang jatuh miskin selepas pendapatan masing-masing terjejas atau hilang disebabkan pandemik.

“Dulu, kita ada the new rich, orang kaya baru. Sekarang kita lihat the ‘new poor’ atau miskin baru,” katanya yang juga anggota pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kepada MalaysiaNow.

Katanya Covid-19 memperkuatkan lagi masalah pengangguran, dan menambah bahawa krisis yang disebabkan oleh pandemik telah menimbulkan beberapa masalah baru.

Madeline berkata antara kumpulan yang terdedah terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan juga fakir miskin yang sebelum ini wujud tanpa disedari.

Katanya, walaupun golongan ini sudah lama wujud, kesan pandemik menyebabkan lebih buruk dan mendedahkan kesusahan mereka kepada umum.

Statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan untuk bulan Mei tahun ini menunjukkan terdapat 47,300 penggangur baru dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 826,100, peningkatan sebanyak 0.3% dalam tempoh sebulan.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan berkata agenda membasmi kemiskinan mungkin sukar dicapai memandangkan seluruh dunia kini berdepan pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap sektor ekonomi.

Madeline berkata Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion yang diumumkan kerajaan dijangka dapat membantu golongan miskin baru ini.

Katanya, walaupun golongan ini sudah lama wujud, kesan pandemik menyebabkan lebih buruk dan mendedahkan kesusahan mereka kepada umum.

“Walaupun ia tidak dinyatakan secara spesifik untuk membasmi kemiskinan, tetapi peruntukan belanjawan itu akan memberi tumpuan kepada golongan B40 dan ke bawah,” katanya.

“Kita memiliki pendekatan yang baik dalam membasmi kemiskinan kerana peruntukan terus diberikan kepada sektor kesihatan awam dan juga kesejahteraan rakyat terutamanya mereka yang rentan.”

Dalam belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini, tambahan sebanyak RM700 juta diberikan kepada usaha membantu kumpulan rentan, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.2 bilion.

Langkah itu akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima terdiri daripada golongan OKU tidak berupaya bekerja, warga emas, kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Kerajaan juga menyediakan hampir RM28 bilion khusus untuk subsidi dan insentif, termasuk bantuan pengangkutan dan kawalan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Madeline berkata, beliau terlibat dalam perbincangan Rancangan Malaysia ke-12, agenda pembangunan negara pasca 2020.

Beliau menambah, akan ada satu peruntukan khas dalam usaha membasmi kemiskinan.

Ia dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada tahun hadapan.

“Bagaimanapun, sekiranya pandemik ini tidak menunjukkan tanda untuk reda, dan masih berlanjutan hingga tahun depan, maka usaha untuk basmi kemiskinan akan rapuh dan terbantut,” katanya.

“Ini kerana, peruntukan akan terus disalurkan kepada sektor kesihatan awam bagi memerangi Covid-19.” katanya.