- Iklan -
Berita

959 kes baru Covid-19, 277 di Selangor

1,068 pesakit pulih dan lima kematian dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki warga asing dilihat memakai pelitup muka ketika melalui deretan kedai di kawasan Nilai 3, Negeri Sembilan. Difahamkan banyak kedai-kedai di kawasan itu ditutup selepas terjejas akibat Covid-19.
Seorang lelaki warga asing dilihat memakai pelitup muka ketika melalui deretan kedai di kawasan Nilai 3, Negeri Sembilan. Difahamkan banyak kedai-kedai di kawasan itu ditutup selepas terjejas akibat Covid-19.

Sebanyak 959 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk enam jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 76,265 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,068 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 65,124 kes atau 85.4%.

“Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 277 kes atau 28.9%, diikuti Sabah 203 (21.2%) dan Kuala Lumpur 129 (13.5%),” katanya dalam sidang media harian.

Noor Hisham berkata, kes aktif kini berjumlah 10,748 dengan 127 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 61 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat lima lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 393 orang,” katanya.

Terdapat empat kluster baru turut dikesan membabitkan Kluster Kupi-Kupi di daerah Penampang, Sabah; Kluster Tapak Bina Ikon Bintang (Lembah Pantai dan Kepong); Kluster Bandar Impian (Kluang di Johor, Pasir Puteh di Kelantan serta Kuala Kangsar, Perak ) dan Kluster Jalan Kemang (Port Dickson, Negeri Sembilan).