- Iklan -
Berita

Taraf kewarganegaraan berat sebelah, kumpulan hak asasi bawa kes ke mahkamah

Kumpulan itu mengatakan keputusan untuk tidak memberikan taraf warganegara secara automatik kepada anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara mencabuli hak kesaksamaan gender dalam perlembagaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita melihat dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia atau MyKad. Gambar: AFP
Seorang wanita melihat dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia atau MyKad. Gambar: AFP

Sebuah kumpulan hak asasi menuntut penjelasan mengenai keputusan untuk tidak memberi hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan wanita Malaysia bersama pasangan warga asing di luar negara didakwa sebagai satu diskriminasi gender yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

MalaysiaNow difahamkan kumpulan hak asasi itu akan mengemukakan saman terhadap kementerian dalam negeri pada 18 Disember kerana keengganan kerajaan untuk mengiktiraf anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara sebagai warganegara.

Perkara itu timbul selepas satu kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said dalam Dewan Rakyat mempertahankan tindakan tersebut.

Beliau berhujah di negara lain, anak yang dilahirkan di luar negara akan mengikut taraf kewarganegaraan ayah mereka, dan kerana itu, wujud kemungkinan berlaku dwi kerakyatan sekiranya anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing.

Malaysia tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, anak yang dilahirkan di luar negara dan bapanya orang Malaysia diberi kewarganegaraan secara automatik.

Manakala anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia, perlu memohon kewarganegaraan.

Pengkritik mengatakan peluang untuk permohonan itu berjaya amat tipis.

Beberapa aktivis mengatakan peruntukan itu melanggar Artikel 8 (2) perlembagaan, yang mana menyatakan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama,ras,keturunan,tempat lahir atau jantina.

Malaysia tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) Noor Aziah Mohd Awal memberitahu MalaysiaNow beliau senada dengan pengkritik bahawa undang-undang itu mendiskriminasikan wanita.

“Kenyataan dikeluarkan kementerian dalam negeri juga mencabar hak wanita Malaysia untuk berkahwin dengan pasangan pilihan mereka kerana anak yang bakal dilahirkan akan jadi mangsa keadaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau mengatakan wujud juga undang-undang lain yang turut mendiskriminasikan wanita, walaupun terdapat pindaan dalam Perlembagaan bagi memenuhi tuntutan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw), yang ditandatangani Malaysia.

Beliau berkata wujud larangan jika warga asing yang berkahwin dengan wanita Malaysia tidak boleh bekerja sekurang-kurangya satu tahun.

“Perkara itu akan membebankan wanita Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara mengkritik peraturan yang tidak memberikan taraf kewarganegaraan secara automatik kepada anak-anak mereka.

Dalam satu dialog yang dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) secara dalam talian, seorang ibu dari Malaysia berkata dia tidak mempunyai pilihan selain melahirkan anak perempuannya di luar Malaysia selepas rayuan suaminya yang merupakan warga asing untuk menemaninya pulang ke Malaysia ditolak disebabkan sekatan perjalanan akibat Covid-19.

“Sepatutnya tidak wujud keadaan di mana seseorang itu perlu memilih antara keluarga dan hak kewarganegaran,” kata Josil, yang meluahkan kebimbangan mengenai status sah anaknya.

Katanya walaupun boleh memohon taraf kewarganegaraan dalam tempoh setahun pertama, dia langsung tidak menaruh sebarang harapan.

“Peluang untuk berjaya sangat rendah. Hanya dua daripada 70 permohonan berjaya hasil daripada kerjasama yang dilakukan FSSG bersama ibu-ibu,” kata Josil, dan menambah dia dapat melihat cabaran bakal dihadapi dalam membesarkan anak bukan warganegara di Malaysia.

FSSG mengatakan Malaysia antara 25 negara yang tidak memberikan hak sama rata kewarganegaraan anak kepada ibu warga tempatan.

Dalam pada itu Majlis Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) mengkritik undang-undang kewarganegaraan yang dianggap tidak adil terhadap wanita.

Ia mengatakan wujud beberapa kes di mana status bukan warganegara dimiliki anak wanita Malaysia kekal bersama pasangan mereka walaupun dikecam kerana mereka tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada suami yang merupakan warga asing.

Tetapi JAG mengalu-alukan tindakan diambil kementerian dalam negeri meminta pandangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai mengenai isu itu.

“Kami menggesa supaya kerajaan memperakui kewarganegaraan sebagai satu hak bukan keistimewaan, dan kewarganegaraan harus diberikan kepada setiap anak yang ibu bapa atau keluarga angkat rakyat Malaysia. Ia tidak kira apa jua status perkahwinan ibu bapa, gender rakyat Malaysia atau tempat kelahiran anak itu,” tambahnya.

Nur Hasliza Mohd Salleh menyumbang kepada laporan ini.