- Iklan -
Berita

Selepas isyarat Zahid, pemimpin PH dalam misi jelaskan kerjasama dengan Umno?

'Baik untuk Melayu', 'baik untuk negara' antara naratif ditawarkan beberapa pemimpin utama PH untuk 'menghalalkan' kerjasama dengan Umno.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Buat masa ini pemimpin tertinggi Umno kekal untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Buat masa ini pemimpin tertinggi Umno kekal untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Tanpa menunggu terlalu lama, sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pemikir mereka menerima dengan hati terbuka isyarat diberikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerjasama dengan gabungan pembangkang itu di Perak.

Mereka menulis di media sosial dan secara dalam talian menjelaskan kerjasama bersama Umno sebagai “baik untuk negara”.

Pemimpin DAP, PKR dan Amanah termasuk penganalisis yang bersimpati kepada PH berkata inisiatif ini akan memanfaatkan rakyat Malaysia.

Pandangan ini mungkin akan mengguris sebahagian besar pengundi anti Umno DAP, yang memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Malah, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menulis artikel panjang memuji pemimpin Umno Johor, mengatakan Hasni Mohammad yang menjadi menteri besar selepas kejatuhan PH awal tahun ni patut dicontohi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Hasni kini bersedia menukar naratif dan menyediakan kerangka dwi-partisan yang baru. Kita tidak melihat kepimpinan ini di pihak kerajaan persekutuan pimpinan Muhyiddin,” tulis bekas timbalan menteri pertahanan itu.

Akar umbi Umno marah

Naratif ini digerakkan selepas tindakan Umno menggulingkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar hingga menyebabkan kerajaan baru perlu ditubuhkan di Perak.

Zahid yang sebelum ini menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menggulingkan Muhyiddin berkata, bekerjasama dengan PH di Perak mungkin menjadi pilihan Umno sekiranya gagal mendapatkan sokongan PAS dan Bersatu yang menyelar tindakan menjatuhkan Faizal dan mengancam tidak bersama usaha menubuhkan kerajaan negeri baru.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan akar umbi Umno di media sosial terhadap Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak, sama seperti ketika pendedahan surat bersama mereka ke Istana Negara untuk menyokong Anwar menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tak kan kerana Zahid dan Najib, akar umbi nak diam dan korbankan sekali lagi parti mereka? Hanya semata nak selamatkan Najib dan Zahid,” tulis satu mesej yang disebarkan di aplikasi WhatsApp.

Kedua-dua Najib dan Zahid jika dicampurkan mempunyai 79 pendakwaan rasuah dan kes mereka diteruskan walaupun Umno kini berada dalam kerajaan. Pada Julai Najib didapati bersalah terhadap sembilan pendakwaan rasuah.

Semalam, Majlis Tertinggi Umno menamatkan spekulasi mereka akan bekerjasama dengan PH di Perak.

Akan tetapi sama ada Umno berjaya memujuk PAS dan Bersatu adalah persoalan berbeza.

Dalam reaksi balas selepas pengumuman itu, kedua-dua parti mengatakan kecewa dengan Umno.

‘Baik untuk Melayu’

Pemikir PH yang sebelum ini pengkritik tegar Umno mengalu-alukan kerjasama tersebut.

Tetapi Kim Quek yang menuduh parti Melayu itu sebagai korup dan memperjuangkan ketuanan Melayu mengatakan “Melayu bandar” tidak lagi mengikut “ideologi perkauman dan amalan rasuah” Umno.

Kini beliau mengatakan kerjasama Umno bersama DAP dan lain-lain akan menguntungkan Melayu.

“Melalui kerjasama Umno-Harapan, dengan polisi yang betul, Melayu akan lebih maju dalam bidang ekonomi dan pendidikan (bersama kaum lain) yang mereka belum pernah lihat sebelum ini,” tulisnya di Malaysiakini.

Naratif sama dikembangkan Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa yang mengatakan kedua-dua Umno dan PH boleh membentuk kerajaan yang kuat di Perak.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga berkata, Umno boleh menebus kesilapan menyertai Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.

“Umno boleh membetulkan keadaan daripada badi langkah sumbang Sheraton dan kecurangan PAS terhadap erti setiakawan politik sekaligus memulihkan imej untuk masuk PRU dengan selesa,” kata Mujahid.

Sementara Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR mengatakan kerjasama parti politik yang bertentangan sudah dijangkakan “dalam era politik penggabungan”.

“Adalah wajar dan tidak dapat dielakkan bahawa kita mungkin berada dalam pelbagai sudut spektrum politik.

“Dalam menghadapi pelbagai krisis kita harus bersatu dalam gabungan yang luas, berfikiran ke hadapan dan menyederhanakan suara-suara di pinggir untuk membolehkan Malaysia pulih dan maju,” tulis Nik Nazmi, penyokong tegar Anwar di Facebook.

Buat masa kini, pemimpin tertinggi Umno menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH walaupun dicadangkan presiden parti.

Akan tetapi walaupun berjaya menggulingkan Faizal, Umno mungkin berdepan dengan masalah baru dalam usaha mencari “kawan baru”.