- Iklan -
Berita

RM6.8 juta diperuntukkan kukuhkan sistem eKasih

Usaha memperkemas kualiti eKasih bakal menggunakan kaedah baru namun kekalkan nama.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Kerajaan akan “menyuntik” penggunaan teknologi baru bagi menaik taraf sistem pangkalan data eKasih,” kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, dana berjumlah RM6.8 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan, sekali gus diyakini berupaya meraih kesan positif ke arah pelbagai usaha penyaluran bantuan.

“Kita tahu sistem eKasih dibangunkan sejak 2007 dan diuruskan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

“Saya sedar sistem lama ini tidak berapa berkesan, justeru langkah memperkemaskan dengan menggunakan teknologi baru bagi memberi data lebih tepat akan dilakukan.

“Bagaimanapun, usaha memperkemas kualiti eKasih yang bakal menggunakan kaedah baru akan mengekalkan nama eKasih juga. Cumanya, ia tidak seperti eKasih lama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) berhubung keberkesanan eKasih dan sama ada kerajaan berhasrat untuk menaik taraf sistem berkenaan.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Ahmad Faizal jika kerajaan sudah mengenal pasti golongan yang jatuh ke kategori miskin dan miskin tegar secara tiba-tiba akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Muhyiddin memberitahu kira-Kira 52% daripada 101,385 orang yang kehilangan pekerjaan di negara ini sehingga 3 Disember lalu, berstatus miskin dan miskin tegar, iaitu berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

Sehubungan itu, beliau berkata tumpuan akan diberikan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menangani kemiskinan rakyat di bandar dan di luar bandar yang akan sentiasa diberi fokus kepada agenda pembasmian kemiskinan di dalam Pelan Pembangunan Negara.

“Kerajaan telah dan sedang melaksanakan usaha memulihkan ekonomi dan sosial merangkumi mengimbangi keperluan ekonomi sosial dan kesejahteraan rakyat terutamanya rakyat yang dikategorikan sebagai miskin.

“Sebagai antara lain bantuan sosial seperti RM2.2 billion yang telah diperuntukkan untuk bantuan bulanan persekutuan untuk tahun 2021 berbanding RM1.5 billion pada tahun ini seperti bantuan pada OKU dan lain-lain kumpulan. Kerajaan juga telah meneruskan bantuan sara hidup yang memberi manfaat kepada 4.5 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM5 billion pada tahun 2020.”