- Iklan -
Berita

Kerajaan teliti cadangan penubuhan RCI siasat kerugian Tabung Haji

Kerajaan teliti aspek perundangan dan kaedah pelaksanaan RCI TH agar capai matlamat diharapkan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook
Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook

Kerajaan sedang mempertimbangkan dan memperhalusi cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca sebenar kerugian Lembaga Tabung Haji (TH) dengan penuh teliti seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, 8 Ogos lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, antara perkara sedang diteliti kerajaan ialah dari aspek perundangan dan kaedah pelaksanaan RCI terbabit supaya penubuhannya mencapai matlamat seperti diharapkan semua pihak.

“Apa yang paling penting sekarang adalah untuk memastikan segala urus tadbir TH mestilah menepati kepentingannya sebagai institusi milik umat Islam di negara ini.

“Justeru, saya memohon ahli Yang Berhormat dapat memberikan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan untuk memelihara kesucian institusi umat Islam ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang meminta perdana menteri menyatakan apakah langkah yang diambil kerajaan bagi mewujudkan RCI berkenaan Tabung Haji bagi menamatkan polemik politik yang membelenggu institusi tersebut.

Dalam pada itu, Zulkifli mengesahkan TH Plantations Bhd (THP) belum membuat sebarang pengumuman secara rasmi berhubung urusan penjualan tanah milik anak syarikat TH di Sarawak kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco) yang dikatakan 20% lebih rendah daripada nilai pasaran.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Baling dan menariknya beliau lebih tahu daripada kami (menteri Kabinet). Jadi terima kasih banyaklah.

“Setakat ini THP tidak membuat sebarang pengumuman awam berhubung transaksi berkenaan. Kita akan meneliti dengan sebaik mungkin.”

Azeez ketika mengemukakan soalan tambahan mendedahkan sepucuk surat kononnya dikeluarkan oleh kementerian hal ehwal ekonomi yang mengesahkan tanah milik THP berkenaan akan dijual dengan harga RM170 juta dan menuntut kerajaan memberikan rasional penjualannya di bawah harga pasaran sekarang.