- Iklan -
Berita

Bersatu Perak belum mohon mengadap Sultan Nazrin

Pihak yang berkenaan perlu memohon perkenan untuk menghadap sebelum titah menghadap dikeluarkan oleh pihak istana.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu. Gambar: Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu. Gambar: Bernama

Bersatu Perak belum memohon untuk menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung pelantikan menteri besar yang baru, kata pengerusinya Ahmad Faizal Azumu.

Faizal turut menafikan menerima titah rasmi untuk menghadap Sultan Nazrin.

“Bersatu Perak ingin memaklumkan bahawa kami tidak menerima titah untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak secara rasmi daripada pihak Istana seperti mana dilaporkan oleh media massa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan wakil daripada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu dan PAS negeri untuk menghadap baginda hari ini berhubung kemelut politik negeri.

Annuar dilaporkan berkata istana menunggu wakil daripada kedua-dua parti untuk menghadap Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

Faizal yang juga ahli Parlimen Tambun kini berada di ibu negara kerana menghadiri sidang Dewan Rakyat, manakala PAS Perak pula dilapor membatalkan rancangannya untuk menghadap Sultan Nazrin atas arahan pucuk pimpinan parti.

Dalam pada itu, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak iaitu Pengerusi DAP Nga Kor Ming, Pengerusi Amanah Asmuni Awi dan Pengerusi PKR Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengadap Sultan Nazrin hari ini.

Bernama difahamkan pihak yang berkenaan perlu memohon perkenan untuk menghadap sebelum titah menghadap dikeluarkan oleh pihak istana.

Jawatan menteri besar Perak kini kosong selepas Faizal meletak jawatan Sabtu lepas setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercaya ahli Dewan terhadap menteri besar semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat lepas.

Menerusi usul yang dibawa Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Faizal yang juga Adun Chenderiang hanya memperoleh 10 undi menyokong berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DDUN Perak merangkumi 25 wakil Barisan Nasional, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.