- Iklan -
Berita

Adun Bersatu, PAS dipanggil mengadap Sultan Perak

Istiadat angkat sumpah jawatan MB akan dilaksanakan selepas Sultan Perak yakin Umno memiliki majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Gambar; Bernama
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Gambar; Bernama

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu dan PAS dipanggil untuk mengadap Sultan Nazrin Shah, kata Anggota Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini.

Beliau berkata, ia bagi membuktikan calon menteri besar daripada Umno, Saarani Mohammad mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Tuanku menerima maklumat dan status terkini yang dipersembahkan dan baginda perlu diyakinkan bahawa perkara yang disembahkan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.

“Oleh kerana itu selanjutnya Tuanku menitahkan Adun Bersatu dan PAS untuk datang mengadap pada bila-bila masa hari ini,” katanya kepada pemberita di Istana Kinta, Ipoh.

Katanya, istiadat angkat sumpah jawatan menteri besar Perak akan hanya dilaksanakan selepas Sultan Nazrin yakin Umno memiliki majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun sehingga kini Sultan Nazrin belum memanggil wakil Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu disingkirkan daripada jawatannya sebagai menteri besar pada 4 Disember lalu selepas satu usul undi percaya dibawa oleh Adun Umno.

Undian itu menyaksikan Faizal sekadar memperoleh 10 undi menyokong berbanding 48 menolak dan seorang berkecuali atau undi rosak.