- Iklan -
Berita

1,012 kes baru Covid-19, 417 di Selangor

1,750 pesakit pulih dan empat kematian dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dirakam pada 6 Oktober lalu menunjukkan sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang menunggu giliran melakukan ujian saringan Covid-19 selepas seorang guru disahkan positif.
Gambar yang dirakam pada 6 Oktober lalu menunjukkan sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang menunggu giliran melakukan ujian saringan Covid-19 selepas seorang guru disahkan positif.

Sebanyak 1,012 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk tujuh jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 75,306, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,750 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 64,056 kes atau 85.1%.

“Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 417 kes atau 41.2%, diikuti Sabah 271 (26.8%) dan Johor 108 (10.7%),” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, kes aktif kini berjumlah 10,862 dengan 126 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 62 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 388 orang,” katanya.

Terdapat dua kluster baru dikesan iaitu Kluster Seruling melibatkan daerah Klang, Hulu Selangor dan Petaling di Selangor serta Kluster Tapak Bina Darul dilaporkan di Titiwangsa, Cheras, Lembah Pantai, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Klang.