- Iklan -
Berita

Putrajaya digesa teruskan kesemua 15 pakej Lebuhraya Pan Borneo dibatalkan PH

Kerajaan PH batalkan pembiayaan Project Delivery Partner dan DanaInfra menyebabkan hanya 20 pakej mampu dilaksanakan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Lebuhraya Pan Borneo. Gambar: Twitter Bernama
Lebuhraya Pan Borneo. Gambar: Twitter Bernama

Pembatalan 15 daripada 35 pakej dalam fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini ternyata membuatkan seluruh rakyat Sabah marah, kata Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu pelaksanaan lebuh raya itu bagi kementerian kerja raya peringkat Jawatankuasa menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memberi pertimbangan sewajarnya untuk melaksanakan kembali kesemua pakej seperti yang dirancang Barisan Nasional (BN) sebelum kalah pada pilihan raya 2018.

Katanya apa yang dirancang oleh kerajaan BN sebelum itu adalah yang terbaik, dan berhasrat untuk melihat projek itu diteruskan serta menjadi realiti.

“Jika peruntukan hanya RM460 juta untuk satu pakej ini bukan realiti tetapi ‘nightmare,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya Sabah berharap kerajaan persekutuan membenarkan seluruh pakej Lebuhraya Pan Borneo dilaksanakan secara ‘private finance initiative’ atau inisiatif pendanaan swasta (PFI).

“Perkara ini penting untuk memastikan rakyat Sabah terus menikmati kemudahan lebuh raya yang baik sama seperti di negeri-negeri yang lain. Menteri dan Kabinet perlu ambil serius perkara ini,” katanya.

Bung Mokhtar berkata, apa yang menyedihkan bagi dirinya sebagai wakil rakyat Sabah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo hanya siap sekitar 20% jika hendak dibandingkan projek yang sama di Sarawak yang sudah lebih 60% siap.

“Ini semua gara-gara dibatalkan Pakatan Harapan dan lebih teruk disokong oleh Warisan menyebabkan rakyat Sabah menjadi mangsa,” sindirnya.

Malah katanya jika apa yang dirancang mengambil masa yang lama maka rakyat Sabah tidak dapat menikmati pembangunan yang sepatutnya.

“Kalau satu tahun, satu pakej, nampaknya tahun 2040 tak akan selesai,” katanya.

“Ini semua gara-gara dibatalkan Pakatan Harapan dan lebih teruk disokong oleh Warisan menyebabkan rakyat Sabah menjadi mangsa,” sindirnya.

Sementara itu Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof ketika sesi penggulungan memberi jaminan kerajaan persekutuan akan berbincang dengan Sabah seperti yang dibangkitkan oleh Bung Mokhtar.

Jelasnya daripada 35 pakej yang dirancang dalam fasa satu hanya 20 akan dilaksanakan, dan 16 daripadanya akan bermula pada tahun depan.

“Di bawah kerajaan BN terdapat 35 pakej di bawah fasa 1, bagaimanapun PH membatalkannya menerusi ‘Project Delivery Partner (PDP)’ melibatkan Sabah dan Sarawak.

“Dan ia turut dibatalkan melalui Dana Infra Nasional Berhad (DanaInfra),” katanya

Disebab itu, kerajaan hanya boleh laksanakan 20 pakej daripada 35 yang dirancang dahulu, kata Fadillah

“15 pakej sudah dalam proses tender, satu dibatalkan kerana ketidakupayaan dan telah ditender semula manakala satu lagi sudah dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021,” katanya.

Fadillah berkata kerajaan pusat akan berbincang dengan lebih lanjut dan terperinci dengan Sabah bagi meneruskan semua projek Lebuhraya Pan Borneo demi kesejahteraan rakyat.

“Secara keseluruhan Sabah mempunyai tiga fasa lebuh raya untuk dilaksanakaan dan kini baru memasuki fasa pertama.

“Setakat ini dalam Belanjawan 2021 memperuntukkan RM1.18 bilion untuk melaksanakan satu daripada pakej Pan Borneo di Sabah.”