Sunday, May 9, 2021

PR1MA akan teruskan pembinaan 60 projek terbengkalai, kata menteri

32 projek PR1MA dihentikan dan 17 daripadanya sudah terima pampasan RM172 juta.

Other News

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan meneruskan pembinaan 60 daripada 92 projeknya terbengkalai, kata menterinya Zuraida Kamaruddin.

Katanya, 32 projek lagi sudah dihentikan selepas PR1MA tidak lagi menerima peruntukan daripada kerajaan, mulai 2016.

Katanya, PR1MA dijangka menjana keuntungan semula mulai tahun depan dengan pelaksanaan program rasionalisasi serta mengikut arahan kerajaan pada 2018 iaitu projek di bawah 15% akan dikaji dan dihentikan manakala projek melebihi 15% diteruskan pembinaanya.

“Daripada 92 projek di bawah PR1MA, kita hentikan 32 projek manakala selebihnya diteruskan secara berperingkat dan kita meneruskan dengan model berbeza sama ada ditukarkan kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah KPKT atau tukar kepada usaha sama.

“Ini adalah apa yang kita lakukan sekarang dalam PR1MA untuk memastikan tanah baik menjadi lebih produktif,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, 32 projek lagi sudah dihentikan selepas PR1MA tidak lagi menerima peruntukan daripada kerajaan, mulai 2016.

Beliau menjawab soalan, Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) yang meminta KPKT menyatakan apakah pendekatan kerajaan dalam memastikan pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada semua negeri termasuk Pulau Pinang mencukupi memandangkan program PR1MA sudah tidak diteruskan sekarang.

Chow juga mahu kementerian memberikan perincian pampasan yang dibayar kepada para pemaju yang tidak dapat meneruskan projek PR1MA disebabkan kepelbagaian faktor.

Menurut Zuraida, PR1MA sudah membayar RM172 juta kepada 17 daripada 32 syarikat pemaju hartanah yang terbabit sebagai pampasan berdasarkan kos kerja pembangunan dan faedah atas kelewatan, manakala baki selebihnya masih dalam perundingan.

Katanya, bayaran berkenaan dibuat dengan menggunakan wang hasil jualan unit PR1MA yang sudah siap kepada pembeli berminat, selepas KPKT melakukan rasionalisasi projek berkenaan, sejak 2018.

“Kita berjaya menurunkan kos kira-kira 30% daripada nilai sebenar tuntutan dibuat oleh syarikat pemaju perumahan terbabit.

“Kita akan menggunakan tanah produktif untuk membuat rumah baru, membuat penilaian terhadap projek dan akan bekerjasama dengan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan sebagainya.”

Ketika ini katanya, KPKT merancang membina 546,755 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Menurut Zuraida, daripada jumlah itu 163,337 dalam pembinaan dan 55,496 sudah siap sepenuhnya manakala 327,922 dalam perancangan pembinaan di bawah kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan swasta.

“Kita juga berjaya menyelesaikan masalah pembinaan membabitkan hampir 200,000 unit rumah mampu milik di mana 55,000 sudah siap dan 150,000 lagi dalam pembinaan dijangka siap secara berperingkat pada tahun depan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles