- Iklan -
Berita

Kesal dengan Umno, Bersatu bersama PAS dalam penubuhan kerajaan baru Perak

Bersatu kesal dengan tindakan Umno kemuka usul percaya kepada MB Perak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bersatu sebulat suara bersetuju memperkukuhkan kerjasama dengan PAS melalui PN. Gambar: Bernama
Bersatu sebulat suara bersetuju memperkukuhkan kerjasama dengan PAS melalui PN. Gambar: Bernama

Kesal dengan tindakan Umno menggulingkan timbalan presiden mereka Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar, Bersatu mengatakan keputusan tentang penubuhan kerajaan baru Perak akan dibuat bersama PAS.

“Semua keputusan yang bakal diambil Bersatu berkaitan penubuhan kerajaan negeri Perak yang baru akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) terutama PAS yang terlibat secara langsung,” kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

“Dalam mesyuarat tersebut, MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap usul keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar Perak yang diusulkan oleh Umno tetapi tidak disokong oleh Umno dan Pakatan Harapan (PH) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.”

Hamzah berkata, MPT Bersatu sebulat suara bersetuju memperkukuhkan kerjasama antara Bersatu dan PAS melalui PN dalam usaha mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.

Jumaat lepas pada sidang DUN Perak menyaksikan hanya 10 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong Faizal yang juga wakil rakyat Chenderiang.

Sementara 48 Adun yang terdiri daripada Umno dan PH menolak sementara seorang lagi berkecuali.

Umno dalam satu kenyataan malam ini mengatakan akan terus bekerjasama dengan Bersatu dan PAS dalam kerajaan PN di Perak.