Sunday, May 9, 2021

Kursus kahwin atau ‘sembang seks’? Pengkritik persoal kursus dua hari untuk pasangan Islam

Pasangan hadir mengikuti kursus pra perkahwinan sekadar memenuhi syarat ditetapkan sebelum melangsungkan perkahwinan.

Other News

Kursus pra perkahwinan yang diwajibkan ke atas pasangan beragama Islam bakal mendirikan rumah tangga digambarkan tidak lebih daripada sekadar sesi “sembang seks”, menurut pemerhatian terhadap sesi dijalankan dalam beberapa bulan.

Penceramah dilihat sering berjenaka mengenai seks, menyebabkan beberapa peserta kursus terkejut dan ada yang terdiam.

Trend ini membimbangkan beberapa aktivitis dan ahli akademik, mengatakan kursus pra perkahwinan, yang merupakan syarat wajib sebelum pasangan dibenarkan berkahwin, tersasar daripada objektif untuk mendidik masyarakat Islam mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam perkahwinan.

Pakar sosiologi Syarifah Fatimah Al Zahrah Al Attas berkata perkembangan itu amat membimbangkan kerana kursus pra perkahwinan itu gagal memenuhi objektif asalnya.

Katanya, masalah itu kebiasaannya timbul pada peringkat pelaksanaan apabila penceramah tidak mengikuti modul dan silibus yang disediakan.

“Di sinilah kita akan dengar luahan peserta tentang perbincangan yang tidak manis,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kursus pra perkahwinan, diperkenalkan pada tahun 1990-an bagi mencari jalan penyelesaian terhadap trend perkahwinan pasangan Islam yang berakhir dengan penceraian.

Ia merupakan kursus selama dua hari dengan pengisian ceramah.

Peserta perlu hadir mengikuti kursus diberikan penceramah yang diberi lesen oleh Jabatan Agama Islam setiap negeri mengikut Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI).

“Di sinilah kita akan dengar luahan peserta tentang perbincangan yang tidak manis,” katanya kepada MalaysiaNow.

Modul tersebut merangkumi prinsip-prinsip asas Islam, moral, pengurusan kesihatan, pengurusan konflik, komunikasi suami isteri, dan juga maklumat mengenai prosedur kaunseling dan perceraian.

Sebilangan besar mereka yang hadir mengikuti kursus pra perkahwinan berbuat demikian sekadar untuk mendapatkan sijil, bagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama sebelum melangsungkan perkahwinan.

Tetapi Syarifah berpandangan tempoh kursus yang singkat dilihat tidak mencukupi bagi membolehkan pasangan bersedia menempuh alam perkahwinan.

Aktivis hak asasi wanita Islam Majidah Hashim selangkah ke hadapan dengan mengatakan kursus pra perkahwinan terbukti gagal menyelesaikan masalah yang menjadi sebab ia diperkenalkan.

Katanya, berlaku peningkatan dalam kes penderaan domestik, poligami dan penceraian walaupun selepas kursus pra perkawinan diwajibkan.

Tahun lepas, hampir 57,000 pasangan di Malaysia bercerai, yang sebahagian besar dalam kalangan orang Islam, meningkat dari tahun sebelumnya.

Majidah, sebelum ini pernah bersama Sisters in Islam, bersetuju kursus pra perkahwinan tersasar daripada objektifnya.

“Ia sudah tersasar daripada realiti,” katanya, dan menambah pasangan terlupa mengenai perkara yang bakal mereka hadapi selepas memutuskan untuk berkahwin.

Katanya wujud satu tanggapan mengenai stereotaip peranan wanita dalam perkahwinan, dengan penceramah menggambarkan golongan ini sebagai individu yang lemah dan harus berada di dalam rumah mengendalikan urusan keluarga, malah enggan menerima realiti masa kini di mana suami isteri perlu bersama-sama keluar mencari rezeki.

Namun, bagi Fairuz Al Jengkawi, seorang pakar perunding isu kekeluargaan dan pendidikan seks, masalah yang wujud dalam kursus pra perkahwinan ini kerana ia diwajibkan.

Katanya, disebabkan itu, pasangan yang hadir mengikuti kursus pra perkahwinan itu sekadar bagi memenuhi syarat ditetapkan.

“Jika tidak hadiri kursus, tidak boleh kahwin,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles