- Iklan -
Berita

Amanah sedia bekerjasama dengan parti selain PH bentuk kerajaan baru Perak

Sebelum ini Nazri Aziz mencadangkan Umno bekerjasama dengan Amanah dan PKR bagi membentuk kerajaan baru di Perak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu mengaminkan bacaan doa pada Persidangan DUN Perak pada 4 Disember, 2020. Gambar: Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu mengaminkan bacaan doa pada Persidangan DUN Perak pada 4 Disember, 2020. Gambar: Bernama

“Tiada yang mustahil” apabila tiba masanya untuk membentuk satu gabungan baru, kata Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi semalam.

“Dalam situasi mencabar ini, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya kepada Bernama ketika ditanya sama ada Amanah Perak sanggup bekerjasama dengan parti politik lain di negeri Perak bagi penubuhan sebuah kerajaan negeri yang baru.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan mencadangkan supaya Umno bekerjasama dengan Amanah dan PKR untuk membentuk sebuah kerajaan baru di negeri Perak.

Asmuni merupakan antara tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diterima menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini selepas Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam undi percaya terhadap beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Dua lagi pemimpin PH berkenaan ialah Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pada Jumaat, Faizal hanya memperoleh 10 undi yang menyokong berbanding 48 yang menolak sementara seorang ahli dewan berkecuali dalam usul undi percaya terhadap beliau yang dibawa Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).

DUN Perak terdiri daripada 25 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, 16 DAP, lima Bersatu, lima Amanah, tiga PKR, tiga PAS dan masing-masing satu daripada Gerakan dan Bebas.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan mencadangkan supaya Umno bekerjasama dengan Amanah dan PKR untuk membentuk sebuah kerajaan baru di negeri Perak.

Beliau dilaporkan berkata adalah tidak mustahil untuk berbuat demikian kerana parti berkenaan bersama-sama menolak usul undi percaya terhadap menteri besar.

Kenyataan sama juga dizahirkan Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dari DAP yang berkata apa pun boleh terjadi selagi ia mematuhi peraturan Perlembagaan dan tidak bertentangan dengan norma.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat khas badan perhubungan Umno negeri malam tadi yang dihadiri Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Nazri sendiri, tiada pemimpin PH yang hadir.