- Iklan -
Berita

‘Saya tak akan bubar DUN’, kata bekas MB Perak

Faizal gagal mendapatkan sokongan dalam undi percaya di DUN Perak pagi tadi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu dan isteri Nomee Ashikin Mohammed ketika sidang media selepas Persidangan DUN Perak pada 4 Disember, 2020. Gambar: Bernama
Reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu dan isteri Nomee Ashikin Mohammed ketika sidang media selepas Persidangan DUN Perak pada 4 Disember, 2020. Gambar: Bernama

Ahmad Faizal Azumu berkata beliau tidak akan mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila beliau mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum kedudukan semasa kerajaan negeri Perak di bawah Perikatan Nasional (PN).

Katanya beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat ketika negara sedang mendepani pandemik Covid-19 berbanding kedudukannya selepas gagal mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan terhadapnya selaku menteri besar Perak pada persidangan DUN pagi tadi.

“Bila saya mengadap Sultan, saya boleh menyembah agar Dewan (DUN) dibubarkan, (namun) adakah itu yang kita mahu? Sama sekali tidak, (kerana) keadaan (sekarang) tidak kondusif untuk pilihan raya. Jadi apa yang saya harus lakukan?

“Saya perlu akur dan beri sokongan kepada sesiapa sahaja yang Tuanku pilih sebagai menteri besar dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau di negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh hari ini.

Katanya beliau berusaha melakukan yang terbaik semasa diberi amanah menjadi menteri besar “dan apabila tiba masa seperti sekarang, saya terima dengan baik.”

“Saya harap ramai dapat terima keadaan ini, ini bukan tentang kita tapi tentang kita nak bagi perkhidmatan,” katanya.

Faizal gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul itu selepas hanya 10 Adun menyokong, 48 tidak menyokong manakala satu lagi berkecuali setelah undian secara bertulis dijalankan terhadap usul tersebut yang dikemukakan Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Bharu).

DUN Perak merangkumi 25 Adun Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada Umno, 16 daripada DAP, Bersatu (5), Amanah (5), PKR (3), PAS (3), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Timbalan presiden Bersatu itu dilantik semula menjadi menteri besar Perak menerusi kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk melalui mandat 32 Adun pada 13 Mac lalu setelah Bersatu keluar daripada PH.

Faizal sebelum itu menerajui kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Kerajaan PH Perak tumbang pada 10 Mac lalu selepas Faizal meletak jawatan.

Mengulas lanjut keputusan usul berkenaan, pengerusi Bersatu Perak itu berkata beliau menerima situasi tersebut sebagai asam garam politik selain bersyukur kerana mendapat sokongan 10 Adun.

“Sebenarnya banyak lagi yang menyokong saya tetapi mereka masing-masing mengikut keputusan parti dan sebagainya. Mereka berjumpa saya dan menyatakan mereka tidak gembira dengan apa yang berlaku tapi perkara dah berlalu.

“Saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang politik, jadi saya perlu faham bahawa perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa juga, jika saya takut dilanda ombak saya tidak akan berumah di tepi pantai, jadi rumah saya baru dilanda ombak dan dah roboh,” katanya berseloroh.

Faizal yang juga ahli Parlimen Tambun turut berharap usul undi percaya terhadapnya itu tidak diseret ke Dewan Rakyat dan negeri-negeri lain.

“Jangan main politik banyak sangat, beri sokongan kepada kerajaan sekarang ini, biar mereka buat kerja hingga pilihan raya umum akan datang yang saya rasa tidak lama lagi, kita masuk balik ke gelanggang serahkan kepada rakyat untuk memilih kita semula,” katanya.

Terkilan kerana tidak sempat membentangkan Belanjawan 2021 negeri Perak yang dijadualkan hari ini, Faizal berharap pelantikan menteri besar yang baru dapat disegerakan selewat-lewatnya sebelum Rabu depan supaya dokumen itu dapat dibentangkan dan diluluskan demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Mengenai perancangan selepas ini, Faizal berkata sebagai ahli Parlimen, beliau perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat selain memberi tumpuan pada tugas sebagai Adun Chenderiang serta tanggungjawab selaku timbalan presiden Bersatu.