- Iklan -
Berita

Bersatu kesal Umno kerjasama dengan PH singkirkan MB Perak

Bersatu menyatakan akan terus bersama PAS dan parti-parti anggota PN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu (tengah) bercakap sesuatu kepada Speaker Dewan Mohamad Zahir Abdul Khalid (kanan) sebelum di umum gagal memperoleh majoriti dalam usul undi percaya hari ini. Gambar: Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu (tengah) bercakap sesuatu kepada Speaker Dewan Mohamad Zahir Abdul Khalid (kanan) sebelum di umum gagal memperoleh majoriti dalam usul undi percaya hari ini. Gambar: Bernama

Bersatu kesal tindakan dilakukan Umno dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan timbalan presiden partinya, Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata parti itu sentiasa berpegang teguh kepada persefahaman antara parti-parti yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) awal tahun ini.

“Sehubungan itu, Bersatu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu, tiga Adun PAS, seorang Adun Umno dan dua Adun Bebas yang menyokong usul keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar Perak,” kata Hamzah yang juga menteri dalam negeri dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Bersatu akan memantau situasi politik semasa dan akan terus bersama PAS dan parti-parti anggota PN yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya.

Terdahulu Umno menerusi setiausaha agungnya, Ahmad Maslan berpendirian kerajaan PN di Perak haruslah dikekalkan selepas DUN menyingkirkan Faizal hari ini.

Ahmad berkata, walaupun menteri besar Perak akan ditukar selepas Faizal hilang sokongan, semua barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini mesti terus memegang jawatan.

Kenyataan Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian itu memadamkan spekulasi Umno bakal menubuhkan kerajaan baru di Perak bersama parti-parti dalam PH.

PAS hari ini berkata tidak akan bersama-sama sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak dan akan kekal bersama PN.

Awal hari ini Faizal ditumbangkan sebagai MB Perak selepas gagal dalam usul undi percaya di Sidang DUN Perak sebelum sempat Belanjawan 2021 bagi negeri itu dibentangkan.

Dalam undi itu, tiga Adun Bersatu yang menyatakan sokongan kepada beliau selain dirinya sendiri adalah Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik), Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) dan Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau).

Turut bersama-sama di belakang Faizal, Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim daripada Umno dan dua Adun bebas Paul Yong (Tronoh) dan A. Sivasubramaniam (Buntong).

Baki tiga lagi Adun daripada PAS iaitu Razman Zakaria (Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).