- Iklan -
Berita

Anggota tentera perlu didakwa jika bersalah, gesa kumpulan hak asasi manusia

Lawyers for Liberty mengatakan pekerja asing hanya mangsa yang tidak patut dipersalahkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pihak berkuasa perlu melindungi dan menjaga keselamatan orang ramai, termasuk warga asing.
Pihak berkuasa perlu melindungi dan menjaga keselamatan orang ramai, termasuk warga asing.

Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) menggesa supaya satu siasatan jenayah dilakukan terhadap anggota tentera terlibat jika mereka didapati bersalah selepas video menyerang warga asing tular di laman media sosial.

Koordinator LFL Zaid Malek berkata, “budaya kebal” dalam kalangan pihak berkuasa merupakan satu “masalah serius” yang kian ketara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengawal penularan Covid-19.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas menjadi punca berlakunya salah guna kuasa oleh pihak berkuasa secara sesuka hati dan tidak konsisten dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang ketika PKP.

“Serangan dan penganiayaan terhadap pekerja asing tanpa izin adalah contoh salah guna kuasa itu,” katanya.

Tambahnya “pesalah sebenar” di sebalik lonjakan Covid-19 adalah “syarikat-syarikat besar yang gagal mematuhi undang-undang bagi memastikan kesihatan dan kebajikan pekerja asing dijaga,” katanya dan menambah pekerja asing adalah mangsa dan tidak patut dipersalahkan.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan beberapa klip video menunjukkan lelaki beruniform memukul dan mengganasi pekerja asing tanpa belas kasihan yang dipercayai sedang menjalani kuarantin Covid-19 tersebar.

Aktivis hak pekerja asing berpusat di Nepal Andy Hall yang mengetahui tentang klip video itu memberitahu MalaysiaNow insiden didakwa berlaku di Meru, Klang.

“Serangan dan penganiayaan terhadap pekerja asing tanpa izin adalah contoh salah guna kuasa itu,” katanya.

Semalam Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Affendi Buang berkata siasatan terhadap klip video itu masih berjalan, dan tindakan awal telah dilaksanakan.

Katanya tindakan anggota itu sedikit melebihi batas.

“Saya tahu anggota ini bertindak sedikit melebihi batas dan saya minta maaf mengenai perkara itu.

“Tetapi pada masa sama anggota tentera ini bukan bertindak sesuka hatinya, kalau bertindak sesuka hati sudah pasti banyak kes melibatkan penderaan berlaku,” katanya.

Zaid dalam kenyataan itu berkata ia adalah sesuatu yang dikesali sekiranya pihak tentera memilih untuk melihat isu serangan melibatkan anggotanya sebagai sesuatu yang “remeh”.

“Serangan itu bukan hanya masalah disiplin; ia merupakan perbuatan jenayah tertakluk di bawah undang-undang, dan perlu dihukum mengikut peruntukan sedia ada. Siasatan jenayah perlu dilakukan terhadap anggota itu.”

Tambahnya pekara itu perlu ditangani dengan serius selepas video itu tular di media sosial.

Katanya pihak berkuasa patut lebih peka “kekerasan tidak boleh digunakan dalam apa jua keadaan meskipun berlaku pelanggaran peraturan PKP”.

“Tugas mereka adalah untuk melindungi dan menjaga keselamatan orang ramai, termasuk pendatang asing dan pelarian, daripada menyebarkan Covid-19 dan mereka perlu melaksanakan tugas mengikut peruntukan yang dibenarkan oleh undang-undang.”