- Iklan -
Berita

2 nama bersaing sebagai MB Perak baru

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad dan bekas menteri besar, Zambry Abd Kadir antara nama yang disebut-sebut.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu mengaminkan bacaan doa pada Persidangan DUN Perak pada 4 Disember, 2020. Gambar: Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu mengaminkan bacaan doa pada Persidangan DUN Perak pada 4 Disember, 2020. Gambar: Bernama

Selepas Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu disingkirkan sebagai menteri besar kerana gagal dalam usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi tadi, dua nama disebut-sebut sebagai bakal menggantikan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang itu, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Sumber berkata, nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad dan bekas menteri besar, Zambry Abd Kadir disebut-sebut bakal menggantikan Faizal yang juga ahli Parlimen Tambun.

“Saarani adalah pilihan pertama kerana beliau adalah pengerusi Umno negeri yang kebiasaannya dilantik sebagai menteri besar di negeri-negeri lain.

“Manakala Zambry menjadi pilihan disebabkan prestasi baik ketika menyandang jawatan itu selama dua penggal 2009 dan 2013. Jadi jangan terkejut jika Zambry dilantik sekali lagi oleh Sultan Perak,” kata sumber Umno Perak kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow cuba menghubungi Shaarani untuk mendapatkan ulasan akan tetapi Adun Kota Tampan itu enggan mengulas.

“Shaarani adalah pilihan pertama kerana beliau adalah pengerusi Umno negeri yang kebiasaannya dilantik sebagai menteri besar di negeri-negeri lain.

Sebelum ini negeri Johor dan Melaka yang dipimpin PH kembali ke tangan Umno selepas berlakunya perubahan tampuk pimpinan di Putrajaya.

Bekas exco Perak yang pernah menganggotai Umno dan Bersatu Hamidah Osman berkata, apa yang berlaku menunjukkan keretakan hubungan antara dua parti Melayu itu dalam kerajaan PN di Perak.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk melantik MB yang baru tidak semudah yang disangkakan.

“Untuk melantik MB kita perlukan 30 sokongan dan setakat ini Umno hanya ada 25 kerusi tak cukup lagi 5,” kata beliau yang kini merupakan naib presiden Putra, parti yang diasaskan Ibrahim Ali kepada MalaysiaNow.

“Setakat ini semua orang ingin tahu siapa 10 Adun yang undi menyokong Faizal. Mungkinkah ada Adun Pas dalam 10 orang itu? Dan jika ada bermakna Umno tetap tidak mempunyai sokongan yang kuat untuk melantik MB.”

Hamidah berkata, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik negeri ialah dengan membubarkan DUN bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Namun disebabkan kebimbangan peningkatan kes Covid-19 membuatkan Sultan perlu meneliti daripada semua aspek sebelum membuat sebarang keputusan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Faizal menubuhkan barisan exco bersandarkan ‘gabungan terpaksa’ selepas hanya dia sahaja merupakan ahli Bersatu di Perak manakala dua lagi Adun lompat daripada Barisan Nasional (BN) dan termasuklah ketika runtuhnya kerajaan PH di Perak hendak menubuhkan kerajaan bersama PN mengambil masa yang agak lama.”

Faizal hari ini disingkirkan sebagai MB Perak selepas gagal mendapat sokongan terhadap usul undi percaya kepadanya yang dikemukakan Abd Manaf Hashim Adun (Umno-Pengkalan Baharu).

Dalam undi belah bahagi yang diadakan di DUN Perak pagi tadi, 48 tidak menyokong, 10 menyokong dan seorang berkecuali.