Monday, September 20, 2021

Lemak tepu: kawan atau lawan?

Pakar kesihatan mengatakan hubung kait antara lemak tepu dan penyakit jantung tidak semudah seperti yang disangka.

Other News

Buat sekian lamanya, orang ramai dimomokkan dengan andaian bahawa pengambilan lemak tepu dalam makanan berisiko mendapat penyakit jantung.

Pakar kesihatan mengatakan situasi itu tidaklah semudah seperti disangka, walaupun wujud kepercayaan dalam diet tradisional mengenai kesan buruk pengambilan makanan yang mengandungi kandungan lemak tepu yang tinggi.

Buat mereka yang pentingkan kesihatan dan sentiasa bimbang mengenainya, pengambilan makanan bergoreng, mentega, produk tenusu, minyak, daging dan ayam akan diketepikan.

Tetapi dalam kehidupan, pengambilan lemak dalam makanan juga boleh menyumbang kepada kebaikan dan juga sebaliknya.

Sebagai contoh lemak trans, perlu dielakkan sama sekali.

Menurut Persatuan Jantung Amerika, “lemak trans menyebabkan peningkatan tahap kolestrol jahat dan merendahkan kolestrol baik dalam badan. Pengambilan lemak trans meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan strok.”

Bagaimanapun, pengambilan lemak tepu tidak mempunyai kaitan secara langsung terhadap risiko sakit jantung.

Satu metaanalisis oleh Universiti Harvard yang menjalankan 21 kajian berkaitan lemak tepu dan penyakit jantung membuat kesimpulan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan dakwaan dengan risiko sakit jantung.

Sebagai contoh lemak trans, perlu dielakkan sama sekali.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Rosnah Ramly menjelaskan perkaitan dari sudut teknikal dalam memahami isu itu.

“Idea mengaitkan lemak tepu dengan penyakit jantung dibuat berdasarkan andaian bahawa lemak tepu meningkatkan jumlah kolestrol dan merendahkan ketumpatan kolestrol lipoprotein (kolestrol jahat) yang menjadi punca risiko sakit jantung,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, tambahnya, terdapat beberapa kajian yang meneliti kaitan langsung pengambilan lemak tepu dan penyakit jantung menemui jawapan yang bercanggah.

“Ini menunjukkan hubung kait antara lemak tepu, kolestrol dalam darah dan penyakit jantung tidak semudah yang disangkakan,” katanya.

“Kita tidak boleh mengandaikan sesuatu nutrisi itu tidak baik hanya kerana ia memberikan kesan kepada satu parameter.”

Dari lecah lari ke duri

Wujud juga masalah daripada apa yang kononnya dipanggil sebagai “peralihan kesihatan” daripada lemak tepu.

Dalam usaha mengurangkan kandungan lemak demi memenuhi syarat-syarat dikemukakan sektor kesihatan, banyak syarikat mula memproses produk makanan mereka secara besar-besaran di kilang-kilang.

Tetapi, mengurangkan kadar lemak tepu dalam proses penyediaan makanan akan menghilangkan rasa pada makanan menyebabkan syarikat-syarikat menambah gula dan bahan-bahan perasa lain untuk kekal sama.

Ini bermaksud, banyak makanan diproses ditambah gula, menyebabkan ia mengandungi kalori yang tinggi dan kurang nutrisi penting.

Akhirnya, orang ramai yang pentingkan diet rendah lemak mengambil gula dan karbohidrat lebih tinggi tanpa mereka sedari.

Ia secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kes penyakit diabetes jenis 2 (T2D) sejak kebelakangan ini.

Satu kajian yang diterbitkan oleh Annals of Global Health pada 2015, bertajuk “Diabetes Care in Malaysia: New Model and Solutions” mendedahkan T2D sudah menjangkiti kira-kira 20.8% golongan dewasa melebihi umur 30 tahun, menjejaskan kira-kira 2.8 juta rakyat dalam negara.

Tetapi, ia bukan alasan untuk kita berpatah balik mengambil lemak tepu, walaupun ia didakwa tidak ada kaitan dengan penyakit jantung, kerana ia tidak semestinya menyihatkan dan perlu dihindar dalam amalan diet sihat.

Pakar kardiakologi, Dr Wong Teck Wee menyarankan peralihan penuh kepada pengambilan makanan yang mengandungi lemak sihat.

Wong yang juga presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) memberitahu MalaysiaNow, pengambilan minyak ke dalam makanan juga dianggap tidak sihat bagi kesihatan jantung, begitu juga, pengambilan lemak tepu.

Katanya, paling penting adalah keseimbangan.

“Jika anda suka makanan yang tinggi dengan lemak tepu, cuba amalkan lebih banyak pengambilan lemak politaktepu dan monotaktepu yang boleh didapati dalam biji chia, biji flax dan lain-lain.”

Bagi mengatasi masalah salur darah tersumbat, Wong mencadangkan pengambilan makanan lengkap, diet berasaskan tumbuhan yang tinggi serat dan karbohidrat kompleks.

Bagi Rosnah, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu tersebut.

“Kita perlu mula mendidik orang awam mengenai cadangan asas pengambilan makanan, bukannya pendekatan mengambil nutrisi tunggal kerana ramai dalam kalangan masyarakat hanya makan makanan tanpa melihat kepada khasiat yang diperlukan,” katanya.

“Ia akan membantu mereka memahami jenis makanan dan jumlah yang diperlukan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles