- Iklan -
Berita

KKM sudah belanjakan RM1.17 bilion untuk Covid-19

Peruntukan itu dibelanjakan bagi tempoh Mac hingga 31 Oktober.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas barisan hadapan meletakkan sampel ujian swab sebelum di hantar ke makmal untuk diuji.
Seorang petugas barisan hadapan meletakkan sampel ujian swab sebelum di hantar ke makmal untuk diuji.

Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM1.17 bilion untuk memerangi pandemik Covid-19 daripada Mac sehingga 31 Oktober, dan akan terus komited bagi memastikan barisan hadapan serta sistem kesihatan mempunyai dana yang mencukupi untuk melindungi rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Dagang berkata peruntukan tersebut digunakan KKM bagi pembelian peralatan bekalan perubatan, barangan pakai habis, pakaian pelindung diri (PPE), kit ujian pantas, serta lain-lain perkhidmatan dalam usaha mengawal wabak Covid-19 daripada meningkat di negara ini.

Katanya, kesemua perbelanjaan itu digunakan di semua fasiliti kementerian termasuk hospital, klinik kesihatan dan pergigian bagi melindungi petugas barisan hadapan.

“Sebahagian besar perbelanjaan tersebut untuk pembayaran elaun khas Covid-19 kepada petugas hadapan yang berjumlah RM275 juta, kedua pembelian kelengkapan PPE sebanyak RM262 juta dan pembelian kit ujian serta pembayaran perkhidmatan makmal swasta berjumlah RM210 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk bayaran emolumen petugas yang terlibat dalam rawatan kawalan dan pencegahan Covid-19 di mana peruntukan tersebut di bawah peruntukan sedia ada KKM,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kesemua perbelanjaan itu digunakan di semua fasiliti kementerian termasuk hospital, klinik kesihatan dan pergigian bagi melindungi petugas barisan hadapan.

Beliau menjawab soalan, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) tentang jumlah perbelanjaan kementerian dalam menangani pandemik Covid-19 daripada 18 Mac 2020 sehingga 31 Oktober 2020.

Sementara itu, berkaitan pelan kontingensi kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan kes luar jangka Covid-19 dan jumlah perbelanjaan untuk perkara itu, Aaron berkata buat masa ini, pihaknya belum menerima makluman.

Bagaimanapun katanya KKM akan sentiasa komited bagi memastikan pandemik Covid-19 ini dapat dikawal dan menghilangkan keresahan rakyat terhadap gelombang ketiga wabak tersebut.

“KKM sudah belanjakan RM1.2 bilion. Jadi, kontigensi itu dalam peruntukan sedia ada, walaupun bajet tak cukup, KKM teruskan juga untuk pembayaran sepatutnya diadakan untuk wabak Covid-19.”