- Iklan -
Berita

Kerajaan peruntukan RM120 juta untuk makanan berkhasiat pelajar miskin seluruh negara

Peruntukan itu disalurkan menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada tahun depan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
RM120 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada tahun depan. Gambar: AFP
RM120 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada tahun depan. Gambar: AFP

Kerajaan memperuntukkan RM120 juta untuk menyediakan makanan berkhasiat bagi pelajar miskin di sekolah rendah seluruh negara pada tahun hadapan, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Selain itu katanya, sebanyak RM100 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2021 bagi tujuan penyelenggaraan sekolah tahfiz dan sekolah pondok berdaftar serta sekolah agama rakyat.

Katanya, peruntukan berkenaan disediakan di bawah Bekalan 11 (B11), perkhidmatan am perbendaharaan di bawah butiran 021300 Pemberian Projek Khas.

Menurut Zafrul, butiran B11 disebutkan merangkumi peruntukan berjumlah RM922 juta berdasarkan amalan digunakan untuk membiayai langkah tambahan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021.

“Antara langkah-langkah ucapan belanjawan yang turut dibiayai di bawah peruntukan ini ialah keperluan tambahan RM120 juta bagi penambahbaikan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk menyediakan makanan berkhasiat bagi pelajar miskin di sekolah rendah di seluruh negara pada tahun depan.

“Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM100 juta bagi geran padanan untuk badan bukan kerajaan (NGO) dan ‘sosial enterprise’ terutama untuk program peningkatan pendapatan bagi golongan rentang, menangani isu sosial seperti penderaan kanak-kanak dan gelandangan.

“Peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk pelbagai langkah yang menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat termasuk peluasan subsidi perkhidmatan awam seperti bas, geran untuk taska, pusat aktiviti warga emas serta perkhidmatan KTM bergerak di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan, Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang meminta menteri kewangan menyatakan butiran dan program/aktiviti di bawah Bekalan 11, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 di mana sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat diperuntukkan RM100 juta.