- Iklan -
Berita

Kerajaan lanjutkan subsidi upah bersasar selama 3 bulan lagi

Program Subsidi Upah secara bersasar dengan bayaran RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 ke bawah.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 99,696 pekerja diberhentikan bermula dari Januari hingga 27 November 2020.
Sebanyak 99,696 pekerja diberhentikan bermula dari Januari hingga 27 November 2020.

Kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) secara bersasar dengan bayaran RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 ke bawah, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 akan melanjutkan program berkenaan selama tiga bulan lagi buat majikan yang terkesan khususnya dalam sektor pelancongan dan peruncitan.

Katanya, program ini dilanjutkan disebabkan berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 27 November 2020.

Daripada rekod itu, bilangan pekerja kehilangan pekerjaaan melibatkan kategori pengurus ialah seramai 13,109 orang, kategori profesional 26,079 orang dan kategori juruteknik serta profesional bersekutu 19,095 orang.

“Berdasarkan kepada data Perkeso, dianggarkan 75% daripada jumlah keseluruhan pekerja adalah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

“Oleh itu, PSU yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah disasarkan untuk membantu pekerja yang paling terkesan dalam golongan B40. Bagaimanapun, bagi golongan pengurusan yang diberhentikan kerja, mereka masih diberi perlindungan di bawah Akta SIP (Akta 800) tertakluk had gaji maksimum RM4,000.

“Ini bermakna pekerja-pekerja yang bergaji melebihi RM4,000 termasuk golongan pengurusan akan mendapat faedah seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

“Berdasarkan kepada data Perkeso, dianggarkan 75% daripada jumlah keseluruhan pekerja adalah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Beliau menjawab soalan, M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mengapakah PSU gagal menyenaraikan pekerja golongan pengurusan sebagai penerima subsidi upah sedangkan statistik menunjukkan secara jelasnya bahawa 59% kadar pengangguran membabitkan kalangan pekerja yang berkemahiran tinggi.

Menjawab mengapa, sebanyak 81,217 pekerja masih hilang pekerjaan seperti yang dicatatkan pangkalan data SIP setakat 25 September 2020 walaupun PSU dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Awang memberitahu penularan Covid-19 adalah satu kejadian luar jangka yang melanda seluruh dunia dan Malaysia turut terkesan.

Sehubungan itu, beliau tidak menafikan terdapat juga majikan dalam sektor-sektor tertentu yang terpaksa melaksanakan pemberhentian pekerjaan disebabkan oleh faktor-faktor luar kawalan yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, berdasarkan rekod SIP sebanyak 99,696 pekerja diberhentikan bermula dari Januari hingga 27 November 2020.

“Sebagai contoh majikan di sektor penginapan sebahagian besar pendapatan yang diperoleh adalah daripada kehadiran pelancong dari luar negara dan pada masa yang sama negara ini juga terjejas akibat daripada penularan wabak ini. Contoh lain adalah di sektor pengangkutan seperti Malindo Airways Sdn Bhd di mana seramai 1,861 pekerja telah diberhentikan kerja.

“Antara sebab-sebab kehilangan pekerjaan yang dilaporkan oleh pekerja adalah disebabkan penutupan perniagaan pengecilan tenaga kerja (Downsizing), skim pemisahan sukarela (VSS) dan skim pemisahan bersama (MSS) seterusnya, syarikat mengalami masalah kewangan kritikal diikuti dengan penutupan separa serta pengambilalihan syarikat dan penempatan semula syarikat.