- Iklan -
Berita

PAC panggil KP SPRM, Transparency International berhubung laporan terbaru rasuah

Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 perlu memberikan taklimat kepada PAC.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah SPRM Azam Baki. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah SPRM Azam Baki. Gambar: Bernama

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen (PAC), akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan badan bukan kerajaan Transparency International (TI) berhubung laporan terbaru mengenai rasuah negara.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh, berkata TI yang menerbitkan Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 perlu memberikan taklimat kepada jawatankuasa itu berhubung perkara itu.

Katanya, laporan itu juga perlu diulas Azam seterusnya menyatakan hala tuju SPRM dalam memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran awam negara.

“PAC memandang serius laporan yang diterbitkan TI yang mendapati 71% rakyat Malaysia merasakan rasuah dalam kerajaan satu masalah besar dan 39% rakyat juga merasakan kegiatan itu meningkat dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Kira-kira 36% rakyat Malaysia juga berpendapat ahli Parlimen juga korup.

“Malah 30% juga merasakan kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi rasuah serta 13% rakyat pernah memberi wang suapan dalam perkhidmatan awam dalam tempoh 12 bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pandangan 25% rakyat Malaysia yang menyatakan perdana menteri korup adalah tinggi, berbanding sembilan negara Asia lain, iaitu Taiwan (24%), Maldives (22%), Bangladesh (20%), Indonesia (20%), Myanmar (18%), China (15 %), Vietnam (8%), Filipina (7%) dan Kemboja (7%).

“Kira-kira 36% rakyat Malaysia juga berpendapat ahli Parlimen juga korup, lebih tinggi dari negara Bangladesh (18%) Taiwan (17%) Myanmar (14%), Filipina (12%), China (11%), Kemboja (6%) dan Vietnam (6%).”

Menurut PAC, laporan itu mendapati 74% daripada rakyat Malaysia berpuas hati terhadap SPRM.

“Oleh demikian PAC berpandangan bahawa angka itu menunjukkan ketidakyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran awam negara serta anggota pentadbirannya.

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi ini harus dikenal pasti dan usaha ke arah membanteras rasuah perlu dipertingkat.

“Keberkesanan Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACP) juga perlu dikaji untuk memandangkan tempoh soal selidik laporan ini dalam tempoh masa pelaksanaan NACP,” katanya.