- Iklan -
Berita

Ekonomi negara semakin pulih, kata menteri

Indeks pengeluaran sektor pembuatan meningkat 2.1% pada September lalu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Harga getah SMR20 sudah meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 per kilogram pada November. Gambar: AFP
Harga getah SMR20 sudah meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 per kilogram pada November. Gambar: AFP

Kerajaan yakin kesan penyederhanaan terhadap ekonomi negara akibat penularan Covid-19 bersifat hanya sementara.

Ini kerana beberapa indikator terkini menunjukkan prestasi ekonomi negara pada suku ketiga 2020 semakin pulih dan bertambah baik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup, berkata ia terbukti apabila indeks pengeluaran sektor pembuatan meningkat 2.1% pada September lalu berbanding pengucupan 2.1% pada Ogos 2020.

Katanya dari segi nilai jualan sektor pembuatan peningkatan sebanyak 3.7% pada bulan September kepada RM121.2 bilion.

“Harga minyak sawit mentah kini mencecah RM3,422 per tan pada November 2020, berbanding paras terendah RM2,074 satu tan pada Mei lalu.

“Harga getah SMR20 sudah meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 per kilogram pada November berbanding nilai terendah RM4.73 pada April 2020.

“Ini menunjukkan sektor pembuatan dan pertanian adalah penyumbang utama dalam membantu merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi semasa Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya dari segi nilai jualan sektor pembuatan peningkatan sebanyak 3.7% pada bulan September kepada RM121.2 bilion.

Beliau menjawab soalan, Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta perdana menteri menyatakan lima kedudukan sektor ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta apakah sektor yang banyak membantu pertumbuhan ekonomi negara semasa Covid-19.

Menurut Arthur sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara iaitu 57.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2019.

Tambahnya sektor kedua terbesar adalah sektor pembuatan yang menyumbangkan sebanyak 22.3% kepada KDNK Malaysia, pada 2019.

“Ini diikuti oleh sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian yang masing-masing menyumbang kepada 7.1% daripada KDNK.

“Sektor pembinaan pula menyumbang sebanyak 4.7% daripada KDNK dalam tempoh sama.”

Bagaimanapun, Arthur berkata pertubuhan KDNK pada Januari hingga September telah menguncup sebanyak 6.4%  dan prestasi ekonomi pada suku ketiga 2020 masih mencatatkan penguncupan sebanyak 2.3%.

“Penguncupan berkenaan adalah lebih rendah berbanding suku kedua 2020.”