- Iklan -
Berita

851 kes baru Covid-19, 658 pulih, 2 lagi kematian dilaporkan

Lembah Klang catat 334 kes termasuk 249 direkodkan di Selangor.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan para petugas kesihatan bersedia untuk melakukan ujian saringan di Plaza Hentian Kajang selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Oktober lalu.
Gambar fail menunjukkan para petugas kesihatan bersedia untuk melakukan ujian saringan di Plaza Hentian Kajang selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Oktober lalu.

Sebanyak 658 pesakit yang menerima rawatan Covid-19 telah sembuh sepenuhnya menjadikan angka keseluruhan mereka yang pulih kini berjumlah 56,969 orang atau 83.8%, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata sebanyak 851 kes baru jangkitan Covid-19 termasuk empat kes import, menjadikan bilangan terkumpul penularan pandemik itu dalam negara berjumlah 68,020 orang.

“Sebanyak 334 kes dilaporkan di Lembah Klang, termasuk 249 direkodkan di Selangor.

“Sabah pula mencatatkan sebanyak 229 kes,” katanya dalam sidang media harian.

Katanya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 10,686 kes, 122 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi termasuk 47 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua lagi kematian baru dilaporkan, menjadi jumlah kumulatif mereka yang maut akibat Covid-19 meningkat kepada 365 orang,” katanya.

Terdapat lima lagi kluster baru turut dikesan iaitu membabitkan Kluster Desa Pinang (Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras); Kluster Impian (Gombak); Kluster Baloi (Johor Bahru dan Pontian); Kluster Jernai (Titiwangsa) dan Kluster Seri Wangsa (Titiwangsa).