- Iklan -
Berita

8-0 selepas RUU Belanjawan 2021 Kementerian Tenaga dan Sumber Asli lulus

Peruntukan belanjawan melibatkan RM2.1 bilion untuk pembangunan dan perbelanjaan mengurus.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen berada di dalam Dewan Rakyat bagi undian RUU Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen berada di dalam Dewan Rakyat bagi undian RUU Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa. Gambar: Bernama

Dewan Rakyat hari ini meluluskan satu lagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Peruntukan kementerian yang berjumlah RM2.1 bilion itu diluluskan dengan undian suara selepas tiada pihak yang memohon undi belah bahagi diadakan.

Ini menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya meluluskan lapan RUU berhubung Belanjawan 2021.

Sesi perbahasan belanjawan kementerian itu sedikit tegang apabila ramai ahli Parlimen membangkitkan hala tuju dan masa depan pengoperasian Zoo Negara yang dilaporkan berhadapan krisis kewangan serius.

Isu-isu berbangkit yang lain melibatkan tunggakan bayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikemukakan ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah menjamin segala persoalan yang dibangkitkan akan diberikan penjelasan sewajarnya melalui jawapan bertulis.

Awal hari ini, Dewan Rakyat meluluskan RUU Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan undian suara.

Terdahulu, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan diluluskan pada peringkat dasar Khamis lepas dengan suara majoriti selepas usaha ahli Parlimen pembangkang mendapatkan undi belah bahagi tidak berjaya.