Monday, October 18, 2021

7-0: PN luluskan RUU Belanjawan 2021 KPLB melalui undian suara

Tiada pihak yang memohon undi belah bahagi diadakan.

Other News

Dewan Rakyat hari ini meluluskan satu lagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Peruntukan kementerian yang berjumlah RM10.19 bilion itu diluluskan dengan undian suara selepas tiada pihak yang memohon undi belah bahagi diadakan.

Kelihatan ramai ahli-ahli Parlimen pembangkang tiada di dalam Dewan Rakyat.

Kebanyakannya masih belum masuk selepas RUU Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diluluskan dengan undian suara pagi tadi.

Ini menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya meluluskan RUU berhubung Belanjawan 2021 sebanyak tujuh kali.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Luar Negeri melalui undi suara.

Manakala bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi diluluskan dengan 108 ahli Parlimen menyokong dan 95 menolak.

Pada Isnin, kerajaan PN berjaya meluluskan dua RUU Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan melalui undi belah bahagi.

Terdahulu, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan diluluskan pada peringkat dasar Khamis lepas dengan suara majoriti selepas usaha ahli Parlimen pembangkang mendapatkan undi belah bahagi tidak berjaya.

Pada hari berkenaan, hanya 13 ahli Parlimen yang bangun menyokong, kurang dua daripada jumlah yang diperlukan untuk membolehkan proses itu dijalankan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles