- Iklan -
Berita

Laporan tahunan Suhakam tidak akan dibahas di Parlimen, kata menteri

Laporan Suhakam bukan keutamaan kerajaan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibahaskan di Dewan Rakyat seperti yang dilakukan tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, laporan tersebut boleh dibahas secara tidak langsung namun tidak menjadi keutamaan kerajaan disebabkan ekonomi dan kebajikan rakyat adalah lebih penting.

“Berdasarkan Seksyen 21 sebagaimana kertas statut yang lain, maka kertas statut nombor 88 tahun 2020 sudah pun dikemukakan dan diletakkan kepada ahli-ahli Parlimen sebagai risalah yang di bawa ke dalam majlis.

“Namun kerajaan menyatakan sekiranya ada ahli-ahli Parlimen berminat untuk membahaskan perkara ini secara tidak langsung, mereka boleh memetik laporan di dalam kandungan-kandungan yang ada dalam laporan ini untuk dijadikan perbahasan yang sesuai dalam masa sesuai.

“Buat masa ini, kerajaan belum bercadang untuk membuka atau membawa satu usul untuk membahaskan laporan ini memandangkan urusan-urusan kerajaan perlu didahulukan sebagaimana standing order dan tidak mempunyai masa yang mencukupi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan, Ahmad Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) tentang sama ada kerajaan berniat membenarkan laporan tahunan Suhakam dibahaskan oleh Dewan Rakyat seperti yang dilakukan tahun lalu.