- Iklan -
Berita

Kementerian Pendidikan laksana penjajaran semula kurikulum mata pelajaran

Langkah itu bagi memastikan murid mendapatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai diperlukan untuk kelangsungan pembelajaran semasa penularan Covid-19.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penjajaran semula kurikulum berkenaan dikecualikan bagi pelajar Tingkatan 5.
Penjajaran semula kurikulum berkenaan dikecualikan bagi pelajar Tingkatan 5.

Kementerian Pendidikan sudah melakukan penjajaran semula kurikulum semua mata pelajaran berdasarkan sukatan pelajaran sedia ada bagi memastikan murid mendapatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai diperlukan untuk kelangsungan pembelajaran semasa penularan Covid-19, sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon, berkata penjajaran semula kurikulum berkenaan dikecualikan bagi pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Mah berkata penjajaran kurikulum berkenaan membabitkan penyusunan semula pedagogi dan pentafsiran berasaskan hasil pembelajaran dihasratkan.

“Melalui penjajaran semula kurikulum ini guru boleh merancang pengajaran dan pembelajaran dengan melaksanakan kaedah pembelajaran teradun ataupun ‘blended learning’ membabitkan gabungan teknik pengajaran secara bersemuka dalam bilik darjah atau di rumah yang dirancang secara berstruktur.

“KPM juga turut memberikan bimbingan mengenai kurikulum yang sudah dijajarkan dalam tempoh persekolahan berbaki bagi tahun 2020 termasuk kunjung bantu dan penerangan dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mah berkata penjajaran kurikulum berkenaan membabitkan penyusunan semula pedagogi dan pentafsiran berasaskan hasil pembelajaran dihasratkan.

Beliau menjawab soalan, Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta menteri pendidikan menyatakan apakah usaha KPM dalam memastikan kualiti pembelajaran murid-murid sekolah dapat dikekalkan dan tidak terjejas berikutan penutupan sekolah.

Bung Moktar juga meminta KPM menyatakan apakah alternatif lain selain daripada pembelajaran secara “on-line” memandangkan terdapatnya kekangan kepada keluarga yang tidak berkemampuan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian ataupun keluarga yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai rangkaian internet yang stabil.

Mengulas lanjut, Mah berkata KPM juga menyediakan manual pembelajaran dan pengajaran di rumah atau PdPR sebagai panduan kepada guru dalam melaksanakan PdPR secara berstruktur dan terancang supaya murid dapat menyediakan pembelajaran di rumah secara optimum.

“Manual PdPR ini meliputi pendekatan secara ‘online’ atau ‘off line’ atau ‘Offside’ sama ada menggunakan  modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek.”

Katanya KPM juga sentiasa berusaha untuk memastikan semua murid mendapatkan akses pembelajaran.

“Oleh itu bagi membantu murid tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai KPM, guru juga mengambil inisiatif dengan menyerahkan bahan pembelajaran dan pengajaran mengikut kesesuaian.”