- Iklan -
Berita

Miti perkenalkan pelbagai inisiatif tarik FDI ke Malaysia

Miti menyediakan platform e-ML, Pacu dan OSH bagi memudahkan kelulusan lesen dan mempercepatkan proses pelaksanaan projek-projek perkilangan di Malaysia.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan asing di rantau ini.
Pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan asing di rantau ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan asing (FDI) di rantau ini, pada masa depan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong.

Katanya, ini termasuklah dengan memperuntukkan RM1.4 bilion menerusi Belanjawanan 2021 bagi membangunkan ekosistem dan hab rantaian bekalan global di lokasi strategik di seluruh negara, mulai tahun depan.

Katanya, Miti  juga sudah mengenal pasti pelbagai langkah efektif termasuk memperkasakan sistem penyampaian kerajaan dengan mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek pelaburan.

Menurut Lim, Miti juga sudah menyediakan platform digital lesen pengilangan elektronik (e-ML), Project Acceleration and Coordination Unit (Pacu) dan menubuhkan pusat sehenti (OSH) bagi memudahkan kelulusan lesen dan mempercepatkan proses pelaksanaan projek-projek perkilangan di Malaysia.

“Kedua menawarkan insentif galakkan pelaburan FDI masuk ke Malaysia dan ketiga dengan menganjurkan seminar pelaburan secara maya dengan pelbagai pihak berkepentingan sebagai contoh dengan dewan peniagaan tempatan dan antarabangsa.

“Kita juga menganjurkan misi pelaburan khusus untuk menarik FDI dari luar negara ke Malaysia pada masa depan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang meminta menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri menyatakan unjuran FDI secara langsung bagi tahun 2021 serta usaha yang dilakukan bagi menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Dalam pada itu, Lim berkata sehingga 30 Oktober tahun ini, kerajaan melalui Mida menilai 786 projek pelaburan dengan nilai RM35.8 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan sebelum dibawa ke jawatankuasa peringkat kebangsaan mengenai pelaburan (NCE) untuk kelulusan.

Katanya, Mida juga sedang mengenal pasti 23 projek berprofil tinggi dan berpotensi dengan nilai pelaburan RM75.4 bilion dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan daripada FDI dari pelbagai negara disasarkan untuk dibawa masuk ke Malaysia pada 2021.

“Kita juga menganjurkan misi pelaburan khusus untuk menarik FDI dari luar negara ke Malaysia pada masa depan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu katanya, Miti menerusi Mida akan terus berusaha untuk membawa masuk kadar pelaburan FDI tinggi seperti tahun sebelum ini.

“Untuk mengetahui unjuran FDI bagi 2021 kita boleh berpandukan data berikut pertama dari tempoh Januari hingga September 2020 lalu, pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama adalah berjumlah RM109.8 bilion,” katanya.

Sektor perkilangan adalah penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan diluluskan RM65.3 bilion, diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM42.8 bilion dan sektor utama RM1.7 bilion.

Daripada jumlah itu, FDI menyumbangkan sebanyak 38.8% atau bernilai RM42.2 bilion dan selebihnya RM67.2 bilion atau 61.2% adalah pelaburan tempatan.

“Pelaburan diluluskan dalam tempoh ini adalah membabitkan 2,935 projek dan dijangka akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan.”